PANDEMIK Covid-19 bukan sahaja memberikan kesan besar kepada keadaan ekonomi dan pendapatan orang ramai, tetapi turut mempengaruhi kesihatan mental masyarakat sehingga menyebabkan ramai berada dalam tekanan.

Tidak mahu diri turut dalam situasi tersebut, pelakon Isyariana, 31, mempunyai cara sendiri untuk memastikan dirinya kekal positif.

Meski banyak kerja seninya tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk penggambaran drama terbaharunya, Hati Yang Dikhianati, Isyariana atau Isya mengisi masa lapangnya dengan pelbagai aktiviti sihat di rumah.

“Sepanjang PKP, saya banyak meluangkan masa untuk diri sendiri. Segarkan balik badan kita yang terlalu banyak digunakan ketika sibuk dengan kerja sebelum ini.

“Akiviti saya selalu lakukan ialah bermeditasi untuk rehatkan badan dan minda. Bagi saya kesihatan minda adalah paling penting kerana sihat minda, sihatlah jiwa dan insya-ALLAH sihatlah tubuh badan,” ujarnya yang mula dikenali menerusi drama Married Tapi Benci.

Dalam masa sama, pemilik nama penuh Isyariana Che Azmi itu berkata, dia juga cuba untuk tidak terlalu aktif di media sosial bagi mengelakkan pengaruh negatif di platform tersebut.

“Media sosial adalah medium komunikasi yang sangat luas pengaruhnya. Ada yang membawa pengaruh positif, tetapi kebanyakannya sekarang lebih menjurus kepada negatif.

“Secara jujurnya saya tidak mahu terlalu terikat dengan media sosial. Jadi saya memilih apa yang hendak dipamerkan dan apa yang tidak perlu di media sosial.

“Media sosial kepada saya lebih kepada urusan kerja dan medium komunikasi bersama peminat. Bagaimanapun, saya sentiasa cuba membahagikan masa antara media sosial dan masa untuk diri sendiri,” jelas Isya yang sedang merangka perancangan baharu sebagai sasaran selepas PKP 3.0 berakhir.

Iklan

Dalam perkembangan lain, pemenang Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular 2020 itu juga baru sahaja tampil dengan single baharunya, Bisik Hati.

Mungkin ada yang lupa, sebelum aktif bergelar pelakon, Isya terlebih dahulu dikenali dalam bidang nyanyian setelah bakatnya dicungkil menerusi program Akademi Fantasia 2016 dan pernah menganggotai kumpulan duo, Hannarose.

Iklan

“Saya baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Bisik Hati dan syukur dengan izin-NYA, hasrat untuk melancarkan lagu ini terlaksana.

“Sebenarnya lagu ini sudah lama dihasilkan, cuma saya menunggu masa sesuai untuk berkongsi karya ini dengan peminat.

“Bertepatan dengan mesej lagu ini yang ke arah bicara kita dengan Tuhan, saya rasa ia sangat sesuai dilancarkan ketika PKP ini, di mana ramai antara kita yang tertekan dengan keadaan semasa,” katanya.