KEMBALI aktif dalam bidang seni sejak menyertai program Gegar Vaganza musim kelima (GV5), penyanyi Nine Zulkarnain mahu terus merancana kerjaya seninya dengan sebaik mungkin.

Tampil secara solo, Nine atau nama sebenarnya, Meor Zulkarnain Mohd Zamhuri, 39, bakal melancarkan single terbaharunya, Rindumu Memanggilku, sebuah karya ciptaan komposer popular, Ajai.

“Mungkin ada yang menganggap saya agak lambat tampil dengan single baharu, apatah lagi GV5 telah tiga tahun berlalu.

“Bagaimanapun bagi saya, tidak kisah cepat atau lambat asalkan lagu yang ditampilkan itu berkualiti dan menepati apa dimahukan.

“Saya puas hati dengan single berentak pop R&B ini dan percaya dengan sentuhan Ajai yang sentiasa memberikan sesuatu yang istimewa tanpa meninggalkan nilai komersial,” ujar Nine.

Menurut Nine yang merupakan bekas anggotai kumpulan Phyne Ballerz, penampilannya kali ini bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi, terutamanya generasi BBNU, tetapi lebih kepada kembali memeriahkan industri.

“Saya buat semua ini kerana minat dan bukan sebab nak kembali mencari populariti.

“Sebagai penyanyi senior, saya cuma mahu sama-sama menyumbang kepada industri seiringan dengan generasi baharu.

“Kita saling berkongsi pengalaman dan dalam masa memberi pilihan kepada pendengar menerusi kepelbagaian karya yang diketengahkan,” kata Nine.

Dalam pada itu, ramai yang memuji Nine kerana sentiasa menjaga penampilannya sehingga ke hari ini, malah tidak nampak perubahan ketara pada fizikalnya meski kini bergelar bapa kepada tiga orang anak.

“Saya memang seorang yang suka menjaga penampilan diri sejak dulu lagi, cuma selepas bergelar artis saya lebih mengambil berat tentang penjagaan diri termasuk soal menjaga kulit wajah, berat badan dan sebagainya.

“Sebagai selebriti semua perkara itu perlu dititik-beratkan kerana ia adalah pakej untuk kita terus kekal dalam industri, selain produk atau karya yang ditampilkan.

Iklan

“Jadi saya ada rutin penjagaan diri yang konsisten, termasuk mengunjungi spa untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan sebagaimana yang disediakan Narqes Skintelligent yang menjadi pilihan saya sejak beberapa tahun ini,” ujarnya yang ditemui ketika mendapatkan rawatan di spa tersebut baru-baru ini.

Berkongsi tentang sambutan Ramadan, Nine mengakui teruja meraikannya bersama isteri dan anak-anak.

“Alhamdulillah berbanding tahun lalu, Ramadan kali ini lebih menyeronokkan kerana kita dapat kembali untuk solat Tarawih bersama-sama di masjid dan melakukan kebiasaan lain di bulan mulia ini biarpun dalam suasana norma baharu.

Iklan

“Setiap kali Ramadan, saya juga sentiasa ada aktiviti dengan anak-anak di mana saya akan bawa mereka solat Tarawih di masjid dan meluangkan masa untuk berkongsi sirah-sirah nabi atau cerita tentang para sahabat.

“Isteri juga akan ajak anak-anak sertai dia di dapur untuk buah kuih atau siapkan juadah berbuka bersama,” katanya.

 

(FOTO: Bobong Latif)