PENYANYI Aiman Sidek sentiasa mencari peluang terbaik untuk mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian.

Aiman, 32, sebelum ini pernah bersaing di peringkat akhir Anugerah Juara Lagu pada tahun 2008 membawakan lagu Dusta Berkalang.

Diikuti dengan penghasilan beberapa single, termasuk sebuah lagu patriotik berjudul Bangkit Malaysia bersama Namias, Aiman kembali dengan karya baharu, Kekasih.

Lagu ciptaannya sendiri itu turut mendapat sentuhan daripada penulis lirik terkenal, Fedtri Yahya.

Tampil berkolaboratif bersama duo adik-beradik Aniq Muhai dan Alif Azhari, Aiman berharap agar lagu tersebut diterima ramai.

“Kekasih merupakan lagu yang menceritakan perihal manusia yang mendambakan sesuatu dalam setiap arah tujunya dan jelas disampaikan menerusi bait-bait lirik dan susunan muziknya.

“Lagu ini dirakam dan disusun oleh komposer yang tidak asing lagi, Bajai, manakala melodi dan vokal pula dibantu oleh Afif Tirmizie,” katanya.

Iklan

Bergerak menerusi label 4U Entertainment yang ditubuhkannya sejak lebih setahun lalu, penyanyi kelahiran Terengganu itu percaya single Kekasih mampu memberi kelainan kepada karya ciptaannya sebelum ini.

Kekasih merupakan buah tangan buat peminat sempena ulang tahun kelahiran saya yang jatuh pada 14 Oktober lalu.

Iklan

“Istimewanya, muzik video lagu ini bakal menampilkan selebriti Instagram dan TikTok terkenal di Pantai Timur iaitu Ervan Rizuan yang berjaya menyampaikan penceritaan lagu ini dengan mantap sekali,” ujarnya.

Lagu Kekasih kini boleh didapati di semua platform digital seperti iTunes, Spotify, Joox, Deezer, YouTube dan lain-lain.