PADA awal kemunculannya dalam industri seni, kredibiliti lakonan Fattah Amin sering dipertikai, malah didakwa hanya menjual ‘rupa paras’ untuk mendaki puncak populariti.

Apatah lagi, pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu pernah bergelar juara Hero Remaja edisi 2011/2012, yang dikatakan lebih terarah kepada bidang peragaan bersesuaian dengan ciri-ciri dimiliki.

Bagaimanapun selepas hampir 10 tahun berlalu, bintang yang namanya mula meledak menerusi drama Playboy Itu Suami Aku, berjaya membuktikan kemampuan diri beliau dan kini merupakan antara aktor pilihan kebanyakan penerbit dan pengarah tanah air.

Semakin matang dalam lakonan, Fattah mengakui bersikap selektif dalam usaha beliau untuk menampilkan kelainan.

“Saya kalau boleh mahu teroka pelbagai jenis watak dan mencuba tugasan baharu agar dapat mencabar kemampuan lakonan.

“Ketika mula menceburi bidang lakonan dulu, saya tidak memilih kerana belum ada pengalaman dan dalam masa mahu cuba apa sahaja untuk belajar.

“Sekarang apabila menerima sesuatu tawaran berlakon, selain watak yang menjadi keutamaan, saya juga amat mementingkan tentang mesej yang dibawakan dalam naskhah tersebut,” ujarnya kepada SinarPlus.

Dalam pada itu, sejak akhir-akhir ini, suami kepada aktres Nur Fazura itu dilihat kerap tampil dengan lakonan aksi lasak berbanding sebelum ini yang lebih sinonim dengan karakter lelaki romantik.

Selepas wataknya sebagai Awang dalam filem pecah panggung, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mencuri perhatian ramai, Fattah tampil pula dengan sebuah lagi filem aksi, Deleted: Akan Ku Jejak yang ditayangkan di pawagam sejak 15 September lalu.

“Bagi saya, berlakon ini macam produk. Sekarang ini orang suka tengok saya buat filem aksi, jadi saya ambil cabaran itu dan cuba beri apa yang dimahukan penonton dan peminat.

“Walaupun genre sama iaitu filem aksi, tetapi watak-watak yang dijayakan itu berbeza. Misalnya watak Awang dalam filem pahlawan Mat Kilau dan watak polis dalam filem Deleted jauh berbeza.

“Sebenarnya saya sangat terbuka untuk mencuba apa sahaja watak. Sebagai pelakon, kita perlukan kelainan,” kata beliau.

Masa Bersama anak

Filem Deleted: Akan Ku Jejak yang merupakan sebuah filem terbitan produksi dari Singapura dan diarahkan oleh Ken Ng Huang Laifa itu mengangkat tema tentang isu pemerdagangan manusia dan penjualan organ dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Fattah yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-32 pada 14 September lalu, selepas memegang status sebagai seorang bapa kepada seorang cahata mata comel, Nur Fatima Aisya, 2, beliau kini lebih sensitif dengan apa sahaja isu yang melibatkan kanak-kanak.

Iklan

Justeru beliau mengharapkan agar mesej yang dibawa menerusi filem terbaharu lakonannya itu dapat memberi sesuatu kepada penonton dan masyarakat.

“Sejak berkahwin dan kemudiannya ada anak, saya semakin peka dengan apa yang berlaku di sekeliling. Bila ada benda-benda yang tak menyenangkan berlaku di luar, saya selalu fikirkan tentang anak dan ahli keluarga saya.

“Saya percaya bila orang tengok cerita ini, mereka juga akan berfikiran sama macam saya. Kisah yang dipaparkan memang terjadi dalam kehidupan kita hari ini.

“Saya gembira menjadi sebahagian daripada filem yang membawakan mesej-mesej sebegini dan secara tidak langsung menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

Fattah bersama isteri, Fazura dan permata hati mereka, Fatima.

Bercerita tentang perkembangan terkini puteri tunggalnya, kongsi Fattah, Fatima kini sudah pandai bercakap dan mengadu jika beliau dan isteri tiada di rumah kerana sibuk bekerja.

Iklan

“Pernah suatu hari ketika saya dan isteri keluar bekerja, Fatima ada mengadu pada pembantu kami yang ibu dan ayahnya sedang sibuk bekerja.

“Bila pembantu kongsikan perkara itu, memang saya rasa sedih dan kasihan juga pada Fatima. Kadang-kadang kami berdua agak sibuk dan tak dapat bawa anak keluar jalan-jalan.

“Insya-ALLAH selepas ini saya dan isteri akan berehat seketika dan bawa anak pergi bercuti untuk luangkan lebih masa dengannya,” kata Fattah.

(FOTO: INSTAGRAM FATTAH AMIN)