SETELAH dua tahun menanti, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa lega apabila filem dokumentari tentang dirinya, Siti: Are You Ready? bakal ditayangkan kepada umum pada 30 Disember ini (esok).

Filem berdurasi 80 minit itu memaparkan kisah di sebalik tabir penganjuran dan perjalanan konsert Siti Nurhaliza on Tour (SNOT) di tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia pada tahun 2019.

Menurut Siti, 42, filem dokumentari terbitan Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions itu sangat bermakna buat dirinya sebagai seorang anak seni.

“Alhamdulillah setelah dua tahun, akhirnya filem dokumentari yang memaparkan perjalanan konsert SNOT akhirnya dapat dikongsi dengan semua peminat dan pecinta seni tanah air.

“Terlalu banyak momen yang saya ingin kongsi bersama peminat agar mereka tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik keindahan dan kejayaan sesebuah konsert yang mereka tonton di pentas.

“Semua paparan dalam filem dokumentari ini adalah rakaman cerita sebenar yang berlaku sepanjang lebih kurang enam bulan persiapan dan perganjuran konsert tersebut sebelum disatukan menjadi 80 minit,” ujarnya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem itu di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jadi rujukan

Siti: Are You Ready? arahan M Azhar Rot dan Anz Izwan itu mengangkat sudut pandang Siti sebagai seorang penyanyi, isteri dan ibu yang berlawan dengan kebimbangan sendiri sebelum muncul di pentas menjayakan konsert SNOT.

Malah penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu menyifatkan filem dokumentari tersebut boleh dijadikan sebagai rujukan kepada penggiat seni generasi akan datang.

“Saya mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa menyanyi ini bukan sekadar untuk menghiburkan sahaja, tetapi lebih daripada itu. Macam-macam cabaran yang saya dan pasukan lalui demi menjayakan konsert ini.

“Saya memang nak sangat masyarakat di luar sana melihat apa yang dipaparkan ini sebagai sesuatu yang boleh memberikan inspirasi. Bukan sahaja pada anak-anak seni generasi muda tapi untuk sesiapa sahaja.

“Saya percaya banyak pengajaran dan perkara positif yang boleh diambil daripada perkongsian yang dipaparkan dalam dokumentari ini,” katanya.

Menariknya, Siti: Are You Ready? juga menampilkan sisi lain Siti yang jarang dipertontonkan kepada umum. Di sebalik kelembutannya, ternyata ibu kepada dua anak itu sangat tegas dalam memegang tanggungjawabnya terhadap sesuatu.

Iklan

Paparan ketika berdepan konflik melibatkan penganjuran SNOT di Jakarta memperlihatkan ketegasan Siti dalam menyelesaikan masalah.

“Kami semua sudah memberikan yang terbaik untuk konsert ini dan pastinya mengharapkan segala yang dirancang berjalan lancar.

“Bagaimanapun tanpa kita duga berlaku sedikit masalah sehingga menyebabkan konsert jelajah di lokasi pertama iaitu Jakarta hampir dibatalkan.

Iklan

“Itu antara momen-momen yang turut dipaparkan dalam dokumentari ini dan kesemuanya adalah rakaman sebenar yang berlaku ketika itu,” katanya.

Filem dokumentari, Siti Are You Ready? bakal ditayangkan secara kombo bersama konsert Siti Nurhaliza On Tour di saluran Astro First (RM19.90 selama 48 jam), manakala peminat di luar negara boleh menonton menerusi platform Vimeo On Demand.

 

(FOTO: Instagram DS Siti Nurhaliza)