JIKA kebanyakan selebriti lebih selesa menggunakan nama glamor untuk memperkenalkan diri dalam dunia seni, namun lain pula ceritanya dengan bakat muda yang semakin meningkat naik ini.

Sejak mula berjinak-jinak dalam industri, Siti Khadijah Halim tidak malu membawa nama yang tercatat dalam kad pengenalannya.

Jelas si cantik manis berusia 25 tahun itu, beliau amat menyukai nama yang telah diberikan oleh bapanya.

“Saya rasa tidak ada apa yang salah dengan nama pentas saya. Malah saya sangat sukakan nama yang ayah saya berikan. Sejak awal penglibatan dalam dunia seni pun, saya sudah memperkenalkan diri sebagai Siti Khadijah Halim. Seronok rasanya bila melihat nama saya ‘naik’ setiap kali pada awal atau penghujung sesebuah karya yang dilakonkan.

“Pada masa sama, saya mahu membawa sekali nama bapa saya sampai bila-bila. Andai suatu hari nanti beliau tiada, saya mahu sentiasa banggakannya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Super Telefilem Rompak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siti Khadijah mahu membanggakan bapanya, Abdul Halim dengan menggunakan nama sebenar.

Tambah Siti Khadijah, beliau pernah secara bergurau bertanya nama yang sesuai dengan beberapa individu di belakang tabir, rata-ratanya memang mencadangkan agar kekal dengan nama sendiri.

“Cuma satu, kalau netizen tahu nama sebenar saya, mereka mungkin akan persoalkan mengapa saya tidak bertudung?,” katanya yang dapat mengagak apa yang bermain dalam benak warga maya.

Tinggalkan seketika bab itu, SinarPlus mahu mengajak pembaca mengenali siapa Siti Khadijah?

Selebriti yang semakin meningkat naik itu sebenar bermula sebagai model sebelum menyertai pertandingan Gadis Panca pada tahun 2017 dan bergelar juara.

Kemenangan itu memberi peluang kepada graduan dalam jurusan komunikasi di Universiti Teknologi Mara Lendu, Melaka itu mengikat kontrak bersama syarikat pengurusan milik Datuk A Aida selama dua tahun.

“Tugas sebagai penuntut (pada ketika itu) telah membataskan masa saya untuk bergiat aktif dalam dunia seni. Saya ada menyambung setahun lagi kontrak bersama pengurusan terdahulu, sebelum membuat keputusan bergerak sendiri.

Iklan

“Alhamdulillah, walaupun perlahan, saya nampak perkembangan saya dalam industri ini. Tawaran demi tawaran berlakon semakin banyak diterima,” katanya yang mula menjadi perbualan selepas gambarnya di sisi Syafiq Kyle ketika penggambaran telefilem Cerai tular di media sosial sekitar akhir tahun 2020.

Berhijab

Dalam pada itu, berkongsi penglibatan beliau dalam naskhah Rompak, Siti Khadijah bakal membawakan watak gadis bertudung bernama Sofea.

Siti Khadijah mengakui sering mendapat tawaran berlakon yang memerlukan dia bertudung.

Katanya, Sofea digambarkan sebagai anak orang kaya yang berdikari dan menguruskan syarikat sendiri.

“Dalam cerita ini nanti, saya akan bergandingan dengan Zizan Razak. Antara sebab lain saya menerima untuk berlakon dalam Rompak adalah kerana penglibatan pelakon hebat seperti Zizan, Daiyan Trisha, Chubb-E dan MK K-Clique.

Iklan

“Selain itu, jalan cerita Rompak juga agak menarik iaitu mengenai jenayah penipuan. Saya harap karya ini nanti akan memberi pendedahan yang lebih besar buat saya,” ujarnya.

Ditanya kekerapannya membawa watak bertudung dalam lakonan selepas Dukun Diva termasuk drama Ash dan Aish, lantas beliau berkata: “Tak dinafikan saya memang dapat banyak tawaran yang memerlukan saya bertudung, malah ada juga projek selepas ini yang memerlukan saya berbuat demikian. Mungkin itu satu petanda untuk saya (berhijab), tetapi saya harap orang tak anggap saya mempermainkan agama.

“Sebab itu saya kekalkan imej yang baik walau tidak bertudung dan pastikan tidak terlalu terdedah apabila berpakaian. Pada masa sama, saya juga mahu nama saya mencerminkan diri saya sebenar. Jadi, tidak wajar kalau saya bawa personaliti yang kurang sopan.”