LEBIH lima tahun membina kerjaya dalam bidang seni, pelakon baharu sedang meningkat naik, Siti Khadijah bersyukur dengan ruang dan peluang yang diberikan kepadanya.

Enggan terburu-buru mengejar populariti, beliau yang memilih untuk menggunakan nama sebenar sebagai nama pentas percaya masanya akan tiba pada ketika kejayaan mendampingi dirinya kelak.

Memegang pendirian tersebut, bintang kelahiran Kuala Lumpur itu itu mengakui hanya fokus untuk membina kerjaya dengan sebaiknya tanpa mencipta sebarang kontroversi bagi melariskan nama.

Justeru, Siti Khadijah yang lebih mesra disapa sebagai Siti tidak kisah jika dirinya kurang dikenali ramai berbanding rakan seangkatan lain yang pantas menyerlah biarpun hanya tampil dengan satu atau dua drama.

“Alhamdulillah sepanjang hampir enam tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan, saya banyak diberikan peluang untuk mengembangkan bakat.

“Dari sudut populariti mungkin nama saya masih belum menyerlah sebagaimana orang lain, tetapi saya bersyukur kerana tawaran lakonan datang secara berterusan. Tiada apa yang saya perlu kejarkan, sebaliknya menghargai setiap pengalaman diperolehi,” ujarnya kepada SinarPlus.

Tiada pengurus

Siti yang semakin dikenali ramai selepas membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu berkata, tidak mudah untuknya menempatkan diri dalam industri seni tanpa usaha dan kerja keras berterusan.

Apatah lagi dirinya turut berdepan persaingan daripada ramai bakat baharu yang tidak kurang hebat, malah menggalas misi sama sepertinya.

“Saya bukanlah pelakon yang popular dengan satu drama dan terus dikenali ramai. Sebaliknya saya bermula dari bawah, bawa pelbagai watak sebelum mendapat kepercayaan menjayakan watak utama seperti sekarang.

“Bagi saya biarlah nama naik secara perlahan-lahan, tetapi mampu bertahan untuk tempoh yang lama dalam industri. Saya hargai persaingan dan melihatnya dalam aspek positif di mana menerusi persainganlah kita dapat memperbaiki kelemahan dan menjadi yang terbaik,” tegasnya.

Selesa menguruskan kerjaya beliau sendiri tanpa menggunakan khidmat pengurus, Siti mengakui mempunyai masalah sukar untuk mempercayai orang lain.

Apatah lagi acap kali mendengar tentang berita salah laku dan penipuan dalam kalangan individu yang berada di posisi tersebut sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain.

“Saya tak nafikan mungkin dengan adanya pihak pengurusan, kerjaya akan lebih lancar dan membuka lebih banyak peluang untuk menyerlah dalam industri.

“Bagaimanapun saya mempunyai masalah trust issue dan takut jika berdepan dengan situasi penipuan melibatkan wang hasil titik peluh sendiri. Maklumlah kita sudah bekerja keras mengumpul wang, tetapi ditipu pula.

“Saya sukar mencari orang yang boleh diberi kepercayaan penuh. Jadi lebih baik bergerak sendiri dan selesa uruskan kerjaya secara solo selama beberapa tahun ini. Mungkin jika keadaan memerlukan selepas ini, barulah saya akan gunakan khidmat pengurus,” katanya.

Iklan

Putus cinta

Berkongsi tentang kehidupan peribadinya, anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui masih solo dan tidak lagi memikirkan tentang jodoh selepas pernah putus cinta beberapa tahun lalu.

Siti bersama ibu bapanya yang sering memberikan sokongan dalam kerjaya.

Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-26 pada 27 Mac baru-baru ini, Siti mahu lebih fokus pada kerjaya dan mengejarkan impian dalam hidupnya.

“Sebelum bergelar selebriti, saya pernah menyasarkan untuk kahwin pada umur 26 tahun. Bagaimanapun hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila hubungan cinta saya tidak kesampaian.

“Jadi sekarang tiada lagi target bila mahu kahwin, sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan-NYA,” katanya berterus-terang.

Jika sebelum dikenali ramai, bekas graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Lendu, Melaka itu sering berkongsi tentang kehidupan peribadinya di media sosial, kini tidak lagi.

Iklan

Sebaliknya hanya soal kerjaya yang dikongsi kepada umum demi menjaga privasi diri dan keluarga.

“Sebelum terlibat dalam bidang seni, saya seorang pempengaruh di media sosial. Bila buat ulasan produk, saya juga akan menjawab soalan-soalan yang diajukan pengikut termasuk soal kehidupan peribadi.

“Namun apabila sudah aktif dalam industri, saya semakin matang dan lebih menjaga soal privasi,” katanya yang kini hangat dengan drama terbaharu lakonannya di TV3, Segenap Takdir.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi