PRIHATIN  dengan nasib rakyat Palestin dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil melancarkan Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid-19 pada Sabtu.

Menurut Siti, 42, tabung berkenaan adalah kesinambungan daripada Dana PKP Siti Nurhaliza yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Bagaimanapun bantuan khas itu kini dikenali dengan nama baharu iaitu Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19, Yayasan Nurjiwa & CTDK Holdings.

“Minggu ini, baru saya boleh fokus kepada beberapa hal yang saya rancangkan kerana masih dalam pantang (di hujung masa pantang). Walaupun usaha ini sudah berjalan tetapi saya uar-uarkan secara rasmi hari ini.

“Ini adalah kesinambungan dan meneruskan usaha Dana PKP Siti Nurhaliza pada tahun lalu dan kini dengan nama tabung baharu untuk bantuan khas terkini iaitu Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19, Yayasan Nurjiwa & CTDK Holdings,” katanya.

Mengulas tentang bantuan tersebut, Siti berkata, apa yang diusahakan itu datang daripada niat dan keikhlasannya untuk membantu dan tidak mempunyai kepentingan peribadi.

“Apa juga usaha yang saya, suami, anda dan kita semua lakukan, saya yakin niat dan fokus adalah sama dan tidak ada lain kerana ALLAH SWT dan Dia Maha Mengetahui.

“Apa yang kita usahakan adalah daripada niat dan keikhlasan dan tiada apa-apa kepentingan peribadi,” katanya.

Iklan

“Tepat jam 12 tengah hari ini (Sabtu), tabung dengan kerjasama platform Kita Fund dilancarkan,” katanya.

Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19 dilancarkan bagi mengumpul dana untuk beberapa  tujuan khusus yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Isu Palestin, Covid-19 dan Bantuan Lain.

“Tabung ini akan memberi bantuan kecemasan, kebajikan, kemanusiaan dan pembangunan bagi rakyat Palestin.

Iklan

“Sementara bantuan khas Covid-19 pula meliputi bantuan kelangsungan hidup kepada barisan hadapan dan juga mangsa atau keluarga mangsa Covid-19 yang menghadapi masalah dan sebagainya.

“Diikuti bantuan lain juga diberikan seperti bantuan kebajikan dan keperluan semasa,” jelasnya.

Bagi yang ingin menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bantuan berkenaan boleh melayari pautan https://kita.fund/YNJCTDKHoldings.