BINTANG versatile, Siti Nordiana sekali lagi memilih pelakon, Fikry Ibrahim untuk bergandingan dengannya dalam klip muzik video (MV) lagunya, Angkara.

Sebelum ini, penyanyi yang turut dikenali dengan nama panggilan Nana itu pernah bergandingan dengan Fikry di dalam MV, Hatiku Milikmu.

“Pengarah kalau boleh nak muka ‘bad boy’ dan ala-ala playgirl. Kebetulan saya dan Fikry pun baik. Dia kawan yang sangat mudah bekerjasama. Berurusan dengan dia pun senang dan tak banyak kerenah.

“Walaupun ada yang cakap kenapa Fikry lagi, sebab dalam MV, Hatiku Milikmu turut menggunakan Fikry. Tapi, disebabkan seronok bekerjasama dengan Fikry, jadi kenapa tidak kami bekerjasama semula,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu Angkara, Nana berkata, bagi mencipta kelainan dia bersama syarikat rakaman 1711 Music dan pengarah MV, Khairul Hazwan sepakat untuk menghasilkan sebuah drama pendek bersiri diikuti pelancaran penuh MV Angkara.

Menurut Nana, idea itu timbul selepas melihat anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, yang suka menonton filem pendek di YouTube.

“Saya terfikir saya tak pernah buat macam ini, selalunya countdown saja dan terus keluar muzik video penuh. Bagi saya ia sudah biasa. Jadi, kali ini saya nak bagi extra dan drama sikit pada peminat.

“Dalam video muzik ini peminat kena menonton drama pendek dulu baru boleh tahu video penuh.

“Saya dapat idea ini sebab anak suka menonton drama dan filem pendek di YouTube. Dari situ saya cuba untuk gunakan konsep sama dalam video muzik kali ini,” katanya.

SITI NORDIANA
Siti Nordiana tampil dengan kelainan menerusi muzik video lagu Angkara.

Nana yang juga pelakon Dia Semanis Honey berkata, idea jalan cerita yang dipaparkan adalah inspirasi daripada kisah masalah rumah tangga yang banyak dipaparkan dalam drama atau filem.

“Pada mulanya saya memberi idea jalan cerita kepada pihak produksi. Mereka suka dan kami terus melakukan perbincangan untuk menambah baik lagi.

Iklan

“Dengan bantuan pengarah, syarikat Seventeen Eleven Music dan syarikat saya sendiri, maka terhasillah video muzik ini,” katanya.

Episod pengenalan sudah ditayangkan pada 3 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. Manakala episod kedua ditayangkan semalam dan ketiga pada 13 Julai ini, jam 9 malam di saluran sama.

Video muzik penuh dilancarkan pada 17 Julai, serentak dengan lagu Angkara.  Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya serta dirinya sendiri.

Iklan