MELAKAR pelbagai kejayaan manis dalam kerjaya nyanyian sepanjang 25 tahun penglibatannya sebagai anak seni, penyanyi tersohor, Datuk Seri Nurhaliza kini dalam perancangan tampil dengan sebuah single istimewa.

Menariknya, Siti 42, berkata, single tersebut bakal menyaksikan pembabitan maestro muzik terkenal dari Indonesia. Belum bersedia mendedahkan identiti pemuzik dimaksudkan, Siti yakin kerjasama itu bakal memberikan sesuatu berbeza pada karya terbabit.

“Saya kini dalam proses menjalinkan kerjasama dengan seorang maestro muzik terkenal dari Indonesia. Siapa dia, biarlah rahsia dulu. Apa yang pasti kami sudah berhubung dan berbincang.

“Alhamdulillah syarikat label Universal Music juga memberikan kerjasama baik untuk projek istimewa ini.

“Doakan saya mendapat karya bagus bagi menggambarkan pengalaman saya sepanjang sempena 25 tahun dalam industri muzik,” ujarnya yang ditemui pada sidang media virtual sempena sambutan ulang tahun kedua produk Beausiti baru-baru ini.

Tidak hanya itu, Siti turut berhasrat mengadakan konsert khas untuk meraikan ulang tahun tersebut.

Mengambil kira situasi semasa pandemik yang masih belum reda, Siti bagaimanapun masih dalam proses meneliti konsep sesuai agar ia tidak mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan penonton serta mereka yang bakal terlibat.

“Sekiranya kerajaan memberi kebenaran untuk membuat persembahan terbuka, saya memang ada perancangan mengadakan konsert khas.

“Bagaimanapun banyak perkara harus diambil kira terutamanya dalam soal pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan, kesihatan dan lain-lain.

“Perancangan konsert ini masih diperhalusi dan jika sudah mendapat ketetapan dari segi konsep, lokasi dan perkara-perkara berkaitan, barulah saya akan umumkan nanti,” ujarnya.

Dalam masa sama, Siti yang sudah menghasilkan 18 album solo dan lebih 40 buah konsert, selain deretan anugerah dimiliki menyifatkan pembabitannya dalam kerjaya seni hari ini bukan lagi untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi.

Iklan

“Kerjaya seni saya sekarang ini bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi muda yang ada.

“Sebaliknya saya hanya nak kekal konsisten memberikan sesuatu yang berkualiti dalam kerja, baik untuk album mahupun persembahan pentas.

“Saya harap peminat akan kenang saya dengan perkara-perkara yang bagus dan baik kelak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti yang kini aktif dalam bidang perniagaan itu meluahkan rasa syukur apabila produk minuman kesihatan BeauSiti yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu mendapat sambutan memberangsangkan.

Iklan

Malah kata Siti, sehingga kini rangkaian produk tersebut sudah terjual sebanyak 200,000 unit, manakala jumlah ejen berdaftar yang dikenali sebagai SitiZen pula seramai 1,700 orang.

“BeauSiti memasuki pasaran ketika pandemik menyerang seluruh dunia. Dua tahun yang sangat mencabar, namun sebagai usahawan kita harus sentiasa positif walaupun dalam keadaan sukar.

“Alhamdulillah perniagaan ini mendapat sambutan baik dan dalam masa sama berjaya melahirkan ramai usahawan baharu yang rata-ratanya juga merupakan peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya seni saya,” katanya yang dalam perancangan meneroka pasaran luar negara dalam masa terdekat.