MENJELANG hujung tahun ini, peminat-peminat muzik Malaysia bakal disajikan dengan pelbagai konsert dan persembahan daripada artis-artis Indonesia yang hadir mengubat rindu para penggemar mereka di sini.

Terbaru, kumpulan rock terkenal Indonesia, Slank juga bakal mengadakan sebuah konsert istimewa berdurasi dua jam buat peminat yang merindukan aksi mereka.

Konsert yang diberi nama 4 Dekad Slank, anjuran TBRW Global Sdn Bhd itu dijadualkan berlangsung pada 19 November depan, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Kumpulan Slank yang dianggotai oleh Kaka selaku vokalis, Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) menyatakan keterujaan mereka untuk bertemu para Slankers di Malaysia.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan apda konsert itu nanti ialah Ku Tak Bisa, I Miss You But I Hate You, Kamu Harus Pulang, Orkes Sakit Hati, Virus dan banyak lagi.

Slank teruja untuk beraksi dan menghiburkan peminat di Malaysia.

Slank yang kini sudah menghasilkan 24 buah album itu menjanjikan persembahan terbaik mereka buat peminat Malaysia.

Menurut Kaka, kunci kepada kejayaan mereka bertahan selama 40 tahun dalam industri dan diterima baik peminat pelbagai generasi adalah kerana rutin mengeluarkan karya baharu.

Malah Bimbim yang merupakan pemain dram Slank, menganggap bahawa pemuzik akan selalu diingati dan dilihat kerana karya mereka.

Iklan

“Jangan berhenti bekarya kerana karya seniman akan ditunggu. Jika berhenti berkarya, orang akan turut berhenti mengikuti,” katanya.

Wakil penganjur, Wan Norul Fadly berkata, pihaknya berasa cukup terharu dan gembira dengan kesudian Slank untuk muncul di Malaysia setelah sekian lama tidak berbuat demikian.

Iklan

“Kami ingin membawakan sebuah kumpulan yang sangat legenda dari seberang dan kami berasa sangat gembira untuk mengumumkan Konsert 4 Dekad Slank akan diadakan pada 19 November ini,” ujarnya.

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga antara RM298 hingga RM418 dan boleh diperolehi menerusi https://www.ticket2u.com.my.