PENYANYI Rap Joe Flizzow mencuri perhatian bintang rap terkemuka dunia, Snoop Dogg yang memuji usahanya memperkasakan muzik hip hop tanah air dengan penubuhan projek 16 Baris yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

16 Baris sebelum ini direalisasikan sebagai satu pentas untuk mencari bintang hip hop terbaharu Asia Tenggara. Ia menampilkan bakat baharu dunia hip hop dari rantau Asia Tenggara khasnya dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Snoop Dogg atau nama sebenarnya, Calvin Cordozar Broadus Jr, berkongsi satu entri Instagram Story miliknya ketika menonton episod 16 Baris di laman YouTube telah dikongsi oleh bintang tersohor itu di Insta Story di platform Instagram.

“@16.baris dope show with unsigned international rappers (acara hebat memaparkan rappers antabangsa yang belum ditandatangan),” tulis Snoop.

Adegan itu turut dikongsi oleh Joe sendiri yang teruja apabila mengadakan panggilan maya di platform Zoom bersama penyanyi rap terkemuka itu.

Menerusi sesi temu bual tersebut, Snoop mengatakan tidak sabar untuk bertemu Joe serta rakan-rakan di Malaysia, selain mahu menghadiahkan rantai.

Iklan

Sejak menyertai keluarga Def Jam Recordings melalui penubuhan Def Jam Southeast Asia (SEA), usaha Joe dalam menerajui label hip hop tersohor dunia itu semakin menyerlah dan pertemuan bersama Snoop Dogg itu menunjukkan kemajuan yang semakin gah.

Iklan

Jelas terbukti bahawa pihak Def Jam SEA di Asia Tenggara akan bekerjasama dengan lebih dekat bersama pasukan Def Jam di Amerika Syarikat.

Sehingga kini Def Jam SEA membariskan ramai nama-nama besar seperti Joe Flizzow dari Malaysia, Daboyway (Thailand), Yung Raja, Fariz Jabba dan ALYPH (Singapura) serta A.Nayaka (Indonesia).