Oleh AQMAR MUSTAZA

SEJAK beberapa minggu lalu, SinarPlus sudah mendengar perkhabaran seorang bintang muda bakal membuat kemunculan
istimewa.

Kehadirannya nanti dikatakan bakal mengikut jejak langkah penyanyi Yuna dan Zee Avi yang bersinar di persada antarabangsa.

Pada Selasa lalu, akhirnya individu yang disebut-sebut itu hadir pada satu sidang akhbar khas memperkenalkan diri dan single terbaharunya, Game of Charades.

Tampil ringkas dengan jaket berwarna putih dan berseluar jean biru, Sophia Zuhri kelihatan tenang sebaik melangkah ke pentas kecil di Nicsmann By Lewre, The Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor.

Karisma gadis dan darjah keyakinan gadis muda itu nampak terserlah meskipun baru meniti usia 17 tahun.

Ya, benar nama dan kelibatnya barangkali masih asing buat peminat industri seni tanah air.

Namun, iltizam, kesungguhan dan semangat yang ditonjolkannya, tidak mustahil akan membawa beliau terbang lebih tinggi dalam industri seni.

Ketika ditemui, Sophia ralit menceritakan aturan dan genre muzik yang dibawakannya.

Berbeza dengan bakat baharu lain yang selesa mengikuti arus muzik masa kini, beliau nampaknya berani membuat kelainan apabila memilih gaya muzik lakuran (fusion) Britpop.

Single berbahasa Inggeris berjudul Game Of Charades adalah pertaruhan pertamanya. Menariknya lagi, ia adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Sophia.

Tutur pemilik nama penuh Aein Sophia Mohd Zuhri itu, karya perdananya antara lain menceritakan mengenai ketidaksempurnaan seorang manusia.

Bait lirik itu berdasarkan pengalaman saya sendiri yang merantau ke negara orang demi menuntut ilmu. Saya selesa untuk menulis mengenai sesuatu situasi atau keadaan yang menyentuh perasaan saya, sama ada daripada apa yang saya alami ataupun melalui pemerhatian sekeliling.

“Begitu jugalah dengan penghasilan lagu Game Of Charades, ia adalah pengalaman dan cerita saya apabila memasuki tempat baharu dan bagaimana untuk membawa diri,” cerita anak didik komposer tersohor, Ajai penuh kesungguhan.

Mudah kata, ujar pencinta warna hijau itu, mesej lagunya mudah. Jangan sesekali takut membuat kesilapan, jadi diri sendiri dan jangan gentar dengan pandangan orang lain terhadap diri sendiri!

KEMBARA MUZIK

Kata Sophia, kecintaan dirinya terhadap muzik sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun, mendengar dirinya sudah mula melayangkan idea mencipta lagu secara serius sejak berusia 14 tahun, penulis mengerti pernyataannya itu.

“Saya rasa ketika usia saya sekitar tujuh, lapan tahun, saya sudah mula menghasilkan lagu dengan hanya mengingati lagu itu sambil menyanyi sendiri tanpa diketahui sesiapa.

“Kemudian, apabila saya menginjak usia 13, 14 tahun, saya mula bereksperimen dalam menulis lagu menerusi video-video yang ditonton di saluran YouTube. Ketika itu, saya banyak menonton video beberapa artis yang sebaya dengan saya atau yang lebih tua mengenai cara mereka menghasilkan lagu.

“Berbekalkan ukulele, saya akan mula menulis melodi atau menyanyikan lagu menerusi telefon bimbit,“ ujar gadis yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat A-Levels di London, United Kingdom (UK).

Meminati Yuna dan menjadikan artis terkenal itu sebagai sumber inspirasi, Sophia berkata, buat masa ini beliau lebih selesa menyanyi dan menghasilkan lagu dalam Bahasa Inggeris. Pun demikian, dirinya tidak keberatan untuk mencipta lagu dalam Bahasa Melayu.

“Sebenarnya, saya sudah tinggal di UK sejak berusia 11 tahun dan secara tidak langsung, saya lebih selesa untuk menghasilkan lagu dengan bahasa yang sering saya tuturkan.

“Saya harap pada masa depan, saya boleh menulis lagu dalam bahasa kebangsaan dan menyanyikannya. Sebelum itu, saya akan gilap Bahasa Melayu saya menjadi lebih baik,” katanya sambil tertawa kecil.

Kemudian, penulis sengaja menebak beliau dengan pertanyaan tentang komitmennya antara pembelajaran di London dan muzik di Malaysia?

Jawabnya: “Tiada masalah sebenarnya, buat masa ini, apa yang boleh saya katakan, saya lebih selesa berkarya dalam industri muzik di Malaysia.

Saya belum membayangkan di mana saya akan berada dalam tempoh lima tahun akan datang. Bagaimanapun saya tidak menolak untuk mengembangkan kerjaya dan hasil kerja saya di peringkat antarabangsa sekiranya ada peluang,” katanya.

Sophia yang juga komposer dan penulis lirik di bawah Universal Music Publishing Sdn Bhd juga memberitahu, beliau akan tampil dengan mini album yang mengandungi lima buah lagu pada suku ketiga tahun 2021.

BERDIKARI

Wawancara kami pada petang itu sebenarnya tidak hanya berkisar tentang muzik sahaja, malah turut menyentuh sisi kehidupannya menghuni di benua
lain.

Anak bongsu daripada empat adik beradik itu berkata, beliau yang memilih untuk mengikut jejak langkah dua abang dan seorang kakaknya yang melanjutkan pelajaran di London pada usia yang masih muda.

Ujar anak kepada ahli perniagaan, Datuk Mohd Zuhri Abdullah, beliau tiada masalah kerana dirinya seorang yang jenis berdikari.

“Pada mulanya, ibu menemani saya di sana, namun kini hanya sekali-sekala saja menjenguk kami, selebihnya ibu berada di Malaysia bersama bapa saya,” katanya berterus-terang.

Iklan

Kepada SinarPlus, Sophia berkata, walaupun ranting kehidupannya makin bertambah, beliau berjanji pada diri sendiri bahawa pelajaran sesekali tidak akan diendahkan dan tetap menjadi keutamaannya.

Sudah memaku visi bahawa selepas A-Level, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan bahasa dan lingustik di salah sebuah universiti di UK.

“Saya tidak akan mencampuradukkan muzik dan pelajaran. Pelajaran tetap penting buat saya. Saya meminati jurusan bahasa dan kini sedang mengikuti kursus bahasa Perancis, Latin dan Greek.

“Saya juga boleh berbahasa Mandarin secara asas. Bagi saya belajar bahasa lain memberi pengetahuan yang baharu. Jadi saya akan meneruskan pengajian selepas ini dan tidak akan terhenti di A-Levels sahaja,” katanya dengan keazaman yang sudah terpasak dalam jiwanya.

RITMA RAMADAN DI UK

Ya, kurang dari dua minggu lagi, umat Islam seantero dunia bakal menyambut kehadiran bulan Ramadan yang penuh dengan barakah.

Ketika itu, nampaknya penyanyi yang bakal menggegarkan persada muzik negara itu sudah berada di UK.

“Ya, saya berada di London ketika itu,“ katanya spontan sebaik penulis bertanya tentang rutin Ramadannya.

Berkongsi pengalamannya berada di rantau orang, tempoh berpuasa di UK kata Sophia, lebih mencabar kerana waktu siang yang lebih panjang terutamanya ketika musim panas.

Iklan

“Namun hal itu tidak sedikitpun menjadi penghalang buat saya untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu. Ketika mula-mula berada di sana, saya memang rasa agak sukar dan mencabar berpuasa terutamanya ketika musim panas.

“Bila menginjak usia dan memahami keperluan berpuasa, ia menjadi lebih mudah buat saya. Lebih-lebih lagi saya mempunyai ramai kawan yang cukup memahami.

“Mereka tidak mempersoalkan bila saya tidak boleh makan atau minum pada waktu siang atau menunaikan solat atau berbuka puasa,“ katanya.

Bagaimanapun, raut wajahnya bertukar sedikit sayu tatkala ditanya tentang juadah kegemarannya ketika iftar di UK.

Saya akan dapat rasa makan sedap-sedap dan pedas jika ibu datang ke London. Sebenarnya kalau berbuka, saya suka semua jenis kuih atau roti jala. Bagi saya semua menu klasik memang sedap. Namun, kelazimannya jika semua itu tiada, saya hanya minum air milo atau teh tarik dan ia telah menjadi menu wajib ketika berbuka,” ujarnya.

Sememangnya topik raya terlalu awal untuk dikongsi, tetapi berpeluang bertemu dengannya, penulis terus bertanyakan tentang suasana Aidilfitri di London.

“Oh, di sana kami hanya bersalaman dan bermaafan di pagi raya. Selepas itu, kami akan menikmati juadah macam rendang dan nasi impit.

“Kemudian akan meneruskan aktiviti seperti biasa. Tidak banyak yang boleh dilakukan. Tentunya menyambut hari raya di Malaysia lebih seronok dan mengujakan.

“Tahun ini pun saya tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman kerana masih terikat dengan pengajian,“ katanya melabuhkan tirai perbualan.