BARU sahaja menimang cahaya mata keduanya pada 6 Mei lalu, penyanyi Tajul Ariff, mengakui semakin selesa dengan statusnya sebagai seorang bapa.

Biarpun kerjaya seninya dilihat semakin perlahan, disebabkan fokus yang perlu diberikan kepada keluarga, pemilik nama sebenar Tajul Ariff Noor, Md. Shari, 23, yakin peminat masih setia memberikan sokongan.

“Saya akui bila terlalu sibuk dengan keluarga dan lama tidak muncul dengan produk baharu, mungkin ada yang lupakan saya, apatah lagi dengan kehadiran ramai bakat baharu silih berganti.

“Bagaimanapun saya tak kisah semua itu kerana faham setiap orang ada fasa turun naiknya. Jadi ketika ini mungkin fasa saya sedang menurun, tapi saya yakin peminat masih setia memberikan sokongan.

“Tak dinafikan, kadang-kadang saya terpaksa korbankan peluang tertentu dalam kerjaya untuk pastikan saya dapat dahulukan keluarga,” akuinya.

Biarpun rakan-rakan seusianya sibuk dengan kehidupan bujang mereka, penyanyi Izinkan Aku itu mengakui tidak pernah kekok menggalas statusnya sebagai bapa kepada dua anak.

“Sebenarnya saya tak ramai kawan-kawan sebaya, melainkan rakan dalam kalangan artis.

“Sejak bujang lagi saya memang banyak bergaul dengan orang-orang lebih berusia dan sudah terbiasa dengan suasana mereka yang berkeluarga.

“Jadi saya tak susah pun nak sesuaikan diri, malah bangga dalam usia ini saya sudah menjadi ketua keluarga dan bergelar bapa kepada dua anak,” katanya.

Teman isteri berpantang anak kedua, Aidilfitri berbeza buat Tajul

Bercerita tentang sambutan Aidilfitrinya baru-baru ini, kata Tajul, ia merupakan satu pengalaman cukup berbeza buatnya.

Bukan sahaja baru menyambut kelahiran anak kedua beberapa hari sebelum raya, tetapi buat pertama kalinya juga dia hanya beraya berempat bersama isteri, Nurul Shamieza Eddie dan dua cahaya matanya.

“Saya datang daripada keluarga yang besar dengan bilangan adik-beradik 10 orang, selain sepupu dan saudara mara yang ramai.

Iklan

“Sambutan raya kami sejak kecil lagi memang meriah apabila semua orang akan berkumpul ramai-ramai di rumah nenek di Labu, Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun disebabkan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya beraya berempat di rumah bersama anak-anak dan isteri yang sedang berpantang,” ujarnya.

Meskipun begitu, kata Tajul, dia tetap menyediakan kelengkapan raya puteri sulungnya, Adriana Carisa yang kini berusia setahun.

“Walaupun raya dalam suasana PKP dan isteri dalam pantang, saya tetap sediakan pakaian raya untuk anak macam biasa.

Iklan

“Saya sendiri mempunyai lapan pasang baju raya yang ditaja, termasuk tiga yang dibeli.

“Saya anggap ia sebagai rezeki anak dan kami kongsi sama-sama,” katanya yang kini sibuk dengan peniagaan yang diusahakan bersama isteri.

 

(FOTO: Rosli Talib & Instagram Tajul)