Strategi baharu Elizabeth Tan
BIARPUN banyak perancangan kerjaya seninya tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda reda, penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan sentiasa positif dengan apa yang dilakukan.
Terbaru pemilik nama Elizabeth Tan Su Mei, 28, itu mendedahkan dia kini tidak lagi bergelar artis naungan syarikat rakaman Warner Music, selepas kontrak tiga tahun bersama label tersebut berakhir Februari lalu.
Akui Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy, tindakan tersebut bukan kerana dia lupa diri selepas meraih populariti tetapi lebih kepada perancangan meningkatkan kerjaya dalam cabang seni lain, termasuk memberi fokus kepada bidang perniagaan yang baru diceburinya.
“Saya berterima kasih kepada Warner Music kerana sepanjang tiga tahun bersama, mereka banyak membantu mengembangkan kerjaya nyanyian, malah menaikkan nama saya dalam industri.
“Bagaimanapun, sebagai manusia kita perlu melihat masa depan lebih jauh lagi dengan menimba pengalaman baharu dan bekerja dengan orang yang berbeza.
“Sejak akhir-akhir ini juga saya aktif dalam bidang lakonan dan tidak hanya mahu tertumpu pada bidang nyanyian sahaja.
“Jadi saya perlukan orang untuk uruskan saya dalam bidang lakonan dan nyanyian kerana sebelum ini segala hal berkaitan lakonan hanya diuruskan oleh saya sendiri, manakala label hanya tertumpu pada nyanyian,” jelasnya.
Tambah Lizzy yang mula dikenali menerusi single Knock Knock itu, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kerja lakonannya terpaksa ditangguhkan.
“Sebelum PKP 3.0, saya sibuk di lokasi penggambaran drama Gerak Khas edisi baharu yang bakal bersiaran sebanyak 30 episod.
“Bagaimanapun, kami hanya sempat menyelesaikan 10 episod sahaja dan penggambaran ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
“Manakala tiga filem lakonan saya temasuk Abang Long Fadil 3 dan Escape juga masih ditangguhkan tayangan sehingga ke hari ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lizzy mengakui teruja untuk mengembangkan perniagaan pakaian di bawah jenama Izzi, yang baru sahaja diusahakan bersama suami, Dr Ding Siew Jing pada tahun lalu.
“Kami baru sahaja mulakan perniagaan pakaian ini sekitar Oktober tahun lalu. Masing-masing bersemangat untuk belajar dan teroka bidang baharu bersama-sama.
“Saya bersyukur kerana suami sentiasa menyokong apa yang saya lakukan tidak kiralah untuk kerjaya mahupun kehidupan.
"Malah dia juga memahami dan tidak mengambil serius tentang komen-komen 'nakal' yang saya diterima di media sosial kerana tahu keadaan sebenarnya,” katanya yang memilih untuk tinggal berasingan dengan suami selepas berkahwin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang