SELEPAS hampir dua tahun berehat daripada aktiviti lakonan disebabkan pandemik yang melanda, pelakon Fasha Sandha mengakui kini kembali sibuk dengan pelbagai komitmen dalam bidang seni.

Malah dedah Fasha jadual kerjanya kini sudah penuh sehingga Ogos depan menyebabkan dia perlu membuat perancangan dengan baik agar segalanya berjalan lancar dan tidak menganggu masa bersama keluarga.

Dalam masa sama, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan, 37, mendedahkan suaminya, Aidil Aziz, ada menyuarakan hasrat untuk menambah anak pada tahun depan.

“Suami ada cakap nak tambah anak tahun depan kerana dia nak ‘baby boy’ pula, tapi sejujurnya saya belum bersedia.
“Buat masa sekarang, cukuplah dulu ada tiga anak. Bukan tidak mahu, cuma sepanjang tahun ini saya agak sibuk dengan komitmen seni dan duta produk.

“Sebelum masuk ke usia 40 tahun, saya memang mahu hamil lagi, cuma bukan dalam masa terdekat ini,” ujarnya merupakan duta produk dan pengguna setia produk serbuk Vitamin C Gebu Glow.

Sambil berseloroh, Fasha yang kini sibuk menjalani penggambaran drama 80 episod, Dendam Seorang Isteri itu berkata, golongan suami hanya tahu ‘meminta’ saja, manakala isteri yang mengusung kandungan sehingga sembilan bulan.

“Suami ini tahu minta saja, tapi yang usung kandungan sampai sembilan bulan, orang perempuan juga.

“Apa-apa pun jika Tuhan beri rezeki hamil lagi, saya terima sahaja dengan hati terbuka,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Fasha berkata, meskipun sibuk dengan urusan kerjaya seni, anak dan keluarga tetap menjadi keutamaannya.

“Walau sibuk macam mana sekalipun, saya akan pastikan akan ada cuti dalam seminggu untuk luangkan masa bersama mereka.

Iklan

“Malah kalau terlibat dengan penggambaran sekalipun, saya akan pastikan pulang ke rumah sebelum jam 10.30 malam kerana anak bongsu masih menyusu badan.

“Saya tidak kisah untuk mula bekerja seawal 6 pagi sekalipun asalkan dapat pulang ke rumah mengikut masa yang ditetapkan. Alhamdulillah produksi faham situasi saya dan masing-masing memberikan kerjasama terbaik,” akuinya yang cukup dikenali sebagai artis berdisiplin.