SITUASI pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara kita mendorong ramai rakyat Malaysia duduk di rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) yang dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.

Kawalan pergerakan yang dikuatkuasa bagi membendung penularan Covid-19 ini menyebabkan ramai terjejas punca pendapatan akibat diberhentikan kerja atau tiada kerja dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang mengalami tekanan perasaan akibat masalah-masalah dihadapi sehingga tanpa sedar mengambil jalan membunuh diri.

Situasi sedemikian sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan buat pelakon, Syafiq Kyle.

Menurut Syafiq, 29, sama seperti kebanyakan anak seni lain, dia turut sama terjejas dari segi pendapatan apabila tidak dapat bekerja seperti biasa.

Pelaksanaan PKP3.0 diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membuatkan dia terpaksa duduk lebih lama di rumah.

Akui Syafiq, dia mungkin berdepan dengan tekanan perasaan sekiranya tidak mampu mengawal kesihatan mental dengan baik.

“Kalau nak kira daripada peratus terjejas, saya boleh kata memang banyak. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergaji hari atau gaji berdasarkan projek macam kru belakang tabir.

“Bagaimanapun dari segi sumber makanan, saya percaya semua orang akan berusaha  mencari jalan mendapatkan makanan, selain ada yang menghulurkan bantuan.

“Ia berbeza dengan kesihatan mental. Malah saya sendiri secara peribadi, tidak terlalu memikirkan soal kewangan sekarang.

“Apa yang saya pentingkan adalah penjagaan mental dan elakkan diri daripada mengalami tekanan,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media drama Suara Hati yang diadakan secara maya pada Khamis.

Tambah Syafiq, masalah mental itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan soal iman semata-mata kerana masalah tekanan melampau selalunya terjadi tanpa disedari.

“Jika kita lihat, banyak kes bunuh diri dilaporkan, ramai yang mengakui tertekan. Kita sebenarnya tak tahu adakah suatu hari nanti akan melalui tempoh depresi, adakah kita akan membunuh diri sebab situasi ini selalu terjadi tanpa kita sedari.

“Saya sendiri tak terkejut kalau alami tekanan perasaan. Sebab itu bagi saya penting untuk kita beri kesedaran mengenai kesihatan mental. Bukan hanya pada orang lain, tetapi juga pada diri sendiri.

“Kempen kesedaran mental dalam tempoh ini sangat penting. Bila kita lebih banyak terperuk di rumah, tidak dapat keluar, mental tak kuat, itu yang timbul situasi tidak terjangka.

Iklan

“Paling penting, jangan kerap mengeluh. Bila banyak benda kita nak fikirkan, itu yang membuatkan kita tertekan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq bakal bergandingan dengan pelakon Hanna Aqeela, Aidil Aziz dan Zeera Hafiz dalam drama Suara Hati.

Syafiq dan Hanna Aqeela disatukan dalam drama Suara Hati bermula esok di Astro Prima.

Drama adaptasi novel dengan judul sama nukilan novelis Anis Ayuni yang mengangkat genre kekeluargaan itu diarahkan oleh Emy Suffian, bakal mengisi slot Tiara secara eksklusif pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang, mulai 19 Julai di Astro Prima (105).

Zaman kegemilangan sudah berlalu?

Dalam pada itu, ditanya mengenai pandangan segelintir pihak yang melihat zaman kegemilangan Syafiq bagai sudah berlalu dengan kehadiran ramai bakat baharu dalam industri lakonan, naib juara Hero Remaja 2011/2012 itu tidak melatah.

Iklan
Syafiq tidak pernah mengejar populariti dan sentiasa mengalukan pelakon baharu.

“Saya rasa tawaran kerja  masih sama, cuma penerimaan setiap orang itu berbeza.

“Sejak dulu pun, saya tidak pernah mengejar populariti atau menaikkan diri. Ia datang dengan sendiri dan saya kira ia satu bonus.

“Apa yang menjadi keutamaan saya adalah kualiti kerja dan memenuhi kepercayaan dalam bekerja. Apa yang penting adalah saya masih diberi peluang untuk memilih watak,” jelasnya.

Tambah pelakon yang cukup menyerlah dengan watak Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur itu, apa yang penting adalah saling mengingati pelakon baharu dan memberikan contoh serta tauladan yang baik.

“Kehadiran bintang baharu ini adalah pusingan biasa di mana-mana pun. Ada lama ada baharu. Saya rasa tak salah kalau kita jadikan bintang baharu itu sebagai contoh dalam bekerja,” katanya yang belum bersedia untuk beralih ke kerusi pengarahan.