SELEPAS 25 tahun bergiat aktif dan membina nama sebagai pelakon, Datuk Hans Isaac mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan.

Perkongsian tersebut dilakukan Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 50, menerusi laman Instagramnya pada Selasa.

“Semua perkara yang baik akan ada pengakhiran. Selepas 25 tahun sebagai pelakon, itu bukan perjalanan yang terlalu buruk bukan? Saya telah direstui, saya benar-benar direstui dan akan sentiasa bersyukur,” ujarnya.

Mengimbau perjalanan seninya, Hans berkata, segalanya bermula apabila dia diberikan peluang berlakon oleh pengarah wanita tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 1994.

“Semuanya bermula apabila Datin Paduka Shuhaimi Baba memberi peluang kepada saya melakonkan watak dalam filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1994. Diikuti 30 filem cereka, sejumlah besar drama dan rancangan TV.

“Kemudiannya, diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi filem Buli Balik bersama Afdlin Shauki untuk dilakonkan di Filipina (Miss You Like Crazy) ke filem Singapore City Sharks.

“Kini sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri,” tegasnya.

Akui Hans, pada awalnya berlakon bukanlah bidang yang diminatinya, tetapi dia berusaha untuk belajar, mencintai dan menikmati proses tersebut.

“Saya rasa bertuah kerana dapat bekerja bersama dengan mereka yang terbaik dalam industri.

“Bagi yang amat mengenali saya, mereka akan memberitahu anda bahawa saya bukan jenis yang duduk dan tidak melakukan apa-apa.

“Saya selalu bertanya kepada diri sendiri ‘apa dan siapa Hans yang seterusnya?’ Apabila saya telah mencapai matlamat tertentu, bagaimana saya boleh menambah baik dan pada masa yang sama memberi peluang kepada orang lain di sekeliling saya,” soalnya.

Biarpun begitu, Hans yang kini bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan politik itu menegaskan akan sentiasa menyokong industri seni tanah air seperti biasa.

Malah dia juga berhasrat untuk  mengarahkan sebuah teater muzikal di Istana Budaya pada masa akan datang.

“Terdapat sisi pawagam, pengurusan dan mungkin juga pergi ke pentas bersama Awie dan Afdlin dari semasa ke semasa untuk ketawa, beriadah dan berseronok.

Iklan

“Harapan saya adalah untuk mengarahkan satu lagi teater muzikal di Istana Budaya suatu hari nanti dan akan terus meluangkan masa untuk membina empayar saya,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Hans turut merakamkan ucapan terima kasih buat rakan-rakan penggiat industri yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

“Jika tidak ada orang yang percaya kepada saya sebelum ini, maka tidak akan ada Hans Isaac si pelakon.

“Dengan itu, terima kasih kepada semua penerbit, pengarah, rakan sekerja dan ahli kru kerana telah memberi saya antara kenangan terbaik dalam hidup.

“Saya selalu mengatakan peminat saya adalah kawan saya. Mereka sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan saya.

Iklan

“Terima kasih atas sokongan selama ini dalam apa jua yang saya lakukan. Satu bab telah tamat, satu bab baru bermula,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Datuk Hans Isaac)

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Hans Isaac (@hansisaac)