MEMILIKI dua kerjaya dalam satu masa bukan satu urusan mudah, sementelah kedua-duanya berteraskan bidang yang sangat berbeza. Namun, kata Dr Hafiz Zainal, beliau tidak pernah menyesal memilih jalan itu.

Baginya, bergelar sebagai doktor gigi dan pada masa sama mengabdikan diri dalam dunia nyanyian sesuatu yang sangat mengujakan.

Biarpun memiliki kerjaya profesional, beliau bagaimanapun selesa dikenali sebagai Hafiz Zainal. Bukan kerana tidak gemarkan kariernya, tetapi panggilan itu lebih enak didengar.

NYANYIAN tetap menjadi keutamaan Hafiz Zainal meskipun bekerja sebagai doktor gigi manakala sekiranya ada masa lapang beliau gemar menghabiskan masa dengan kucing kesayangan di rumah.

Katanya, cukuplah sekadar pesakit memanggilnya dengan panggilan ‘doktor‘. Sebaik muncul sebagai penyanyi, biarlah beliau dikenali nama pilihannya itu.

“Saya perlu tahu waktu bila untuk membezakan antara kedua-dua kerja tersebut. Apabila menjadi doktor, saya perlu bersikap profesional dan begitu juga apabila berada di atas pentas. Agak canggung sekiranya waktu itu saya dipanggil doktor kerana situasi sebegitu tak sesuai dan tak kena,“ ujarnya.

Rawat hati & Tak Kira

Kembali meneruskan perbualan, bekas peserta rancangan realiti Big Stage musim ketiga itu mengakui, beliau mempunyai alasan kenapa membuka sebuah klinik pergigian sendiri, Toothsuite Dental di Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur sekitar pertengahan tahun ini.

Salah satu tujuannya adalah ingin merawat hatinya yang terluka. Pernyataannya membuatkan penulis ingin tahu dengan lebih mendalam tentang isi cerita yang mungkin boleh dikongsikan.

Pemuda berusia 29 tahun yang membahasakan diri sebagai Hafiz berterus terang bahawa puncanya ada kaitan dengan hubungan cintanya tidak kesampaian! Itu sebab beliau nekad untuk memberi tumpuan dalam bidang perubatan.

HAFIZ meluahkan perasaan kekecewaannya dan kesediaannya untuk kembali bercinta dalam lagu Tak Kira yang dihasilkannya sambil dibantu oleh Stacy dan Akim.

“Saya rasa kecewa apabila hubungan dengan bekas kekasih berakhir begitu saja. Jadi, saya memilih untuk mengalihkan fokus kepada hal baharu agar kembali berada di landasan yang betul.

“Biarpun telah beberapa kali putus cinta, sejujurnya saya agak patah hati dengan pengakhiran hubungan pada kali ini,“ akuinya tanpa memperincikan identiti wanita yang meranapkan sanubarinya itu.

Didorong dengan rasa galau ditambah dengan amarah yang masih berbekas, Hafiz juga memilih untuk menzahirkan perasaannya itu dalam sebuah lagu.

Pertama kali terlibat dalam penghasilan lirik, Hafiz dibantu oleh Bunga Cantik (Stacy) dan Hang Nadim (Akim). Akhirnya, terciptalah Tak Kira yang merupakan single terbaharunya.

Mendekati dua figura yang merupakan antara kenalan rapat, Hafiz meluahkan keterujaannya apabila diberi kepercayaan oleh Akim dan Stacy untuk saling bekerjasama menghasilkan lagu.

Berbeza dengan segelintir penyanyi yang kurang selesa mengakui ceritera di sebalik sebuah lagu, Hafiz berada di sisi berbeza.

Kata doktor selebriti itu, beliau tidak kisah untuk berkongsi segala inti sari hatinya di dalam sebuah naskhah, biarpun hal tersebut terkait dengan masa lampaunya.

Mendengarkan kecenderungannya itu, benak penulis terus terlintas mengingatkan selebriti antarabangsa, Taylor Swift. Penyanyi berusia 32 tahun tersebut cukup dikenali dengan kecondongannya menterjemahkan plot kehidupan beliau dalam sebuah lagu.

Hafiz menyambung bicara. Beliau lebih mudah untuk menyanyikan sebuah karya yang kena mengena dengan pengalaman hidup yang direntasnya. Emosi lagu tersebut dirasakan lebih dekat dan ‘menjadi-jadi‘.

“Disebabkan Akim dan Stacy memahaminya, mereka meminta saya untuk menulis sendiri lirik lagu, namun membantu mengolahkannya. Beberapa lagu sebelum ini seperti Rindu juga merupakan sebahagian daripada sisi peribadi saya.

“Ini memang sesuatu yang baharu dan saya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Namun, apa yang ingin saya tegaskan adalah saya amat serius dalam bidang seni suara. Biarpun memiliki kerjaya sebagai doktor gigi, saya tetap optimis untuk menjadi seorang penyanyi,“ ujarnya bersungguh-sungguh selain menyifatkan dirinya sebagai seorang pencerita (narator).

Ibu derita Alzheimer

Ya, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk memulihkan hati yang lara. Sesetengah individu akan mencapai beg galas lalu keluar melancong dan ada juga yang lebih senang untuk tidur sepanjang hari.

Bagi Hafiz, beliau memilih untuk memelihara dan membelai si bulus. Katanya kepada penulis, haiwan tersebut dirasakan bagai satu terapi untuk melupakan kisah lalu yang menyakitkan hati.

“Agak sasau juga apabila duduk di rumah sendirian tanpa teman untuk diajak berbual setelah seharian penat bekerja. Jadi, setelah membuat pertimbangan sewajarnya, saya putuskan untuk menjaga haiwan.

“Sewaktu kecil, saya juga pernah memelihara kucing dan sudah biasa dengan kehadiran ‘mereka‘. Apabila saya pulang ke rumah, Cincau (nama kucingnya) sudah menanti dan hal itu cukup membuatkan saya terhibur.

“Pada masa sama, Cincau juga menjadi tempat saya bermanja selama berjauhan dengan ibu dan ahli keluarga di kampung halaman, Johor Bahru,“ katanya.

Iklan
HAFIZ bersama ibunya Rahmah Ismail yang kini berusia 61 tahun.

Bercerita tentang ibu tersayang, Rahmah Ismail, 61, Hafiz tanpa berselindung memberitahu, wanita pengarang jantung hatinya menghidap Alzheimer.

Meskipun secara fizikal tidak memperlihatkan Rahmah mengalami sebarang penyakit, tetapi selebriti itu memberitahu, kadangkala bidadari syurganya terlupa untuk makan dan memerlukan penjagaan rapi.

Disebabkan sudah tidak mampu untuk mengurus diri terutama saat ingin ke tandas, selaku anak lelaki tunggal dalam keluarga, Hafiz dan adik beradik lain mengambil seorang jururawat untuk menjaga ibu tersayang di rumah.

“Ibu bersama kakak di Johor. Kami empat beradik akan saling menjaga dan memberikan sokongan antara satu sama lain. Saya juga akan bertanya khabar mengenai keadaan ibu. Insya-ALLAH suatu masa nanti, saya akan menjaga ibu kerana sememangnya itu adalah tugas sebagai seorang anak lelaki,“ katanya.

Transisi

Hafiz kemudian mengubah rentak bicara. Kata beliau, mengharungi satu epilog cinta luka, memiliki rahmat di sebaliknya. Tidak guna menyalahkan takdir, sebaliknya perlu sedaya upaya berusaha memperbaiki diri dan membetulkan khilaf lalu.

Biarlah momen pahit sebelum ini menjadi lipatan sejarah dan menjadi iktibar dalam perjalanan hidupnya yang masih panjang.

Enggan terlalu lama larut dalam tangisan, Hafiz berkata, beliau mengharapkan hubungan yang mendatang akan lebih terjamin. Lebih menarik, jika cinta dan kerjaya dapat diseimbangkan.

Iklan

“Sebelum ini saya bekerja dengan orang, jadi sukar untuk mengurus masa berbanding memiliki klinik sendiri. Kini, saya boleh menyusun jadual kerja lebih sistematik.

“Dulu, saya memang agak fokus dengan kerjaya sebagai doktor. Pada masa sama, saya baru menceburkan diri dalam bidang nyanyian. Jadi segalanya perlu diurus dengan teliti kerana kedua-dua cabang kerjaya ini amat saya minati“ katanya.

Hafiz juga memberitahu penulis, beliau nekad untuk mentransisikan imej dan penampilan. Dirinya mahu terlihat sebagai seorang selebriti berbanding doktor.

MESKIPUN memiliki minat mendalam dalam bidang muzik dan nyanyian, Hafiz tidak pernah melupakan kecintaannya terhadap kerjaya sebagai doktor gigi.

Sebelum ini, selebriti tampan berkenaan sentiasa tampil dengan gaya potongan rambut pendek dan kemas termasuk personalitinya yang tampak lebih serius. Mungkin kerana kerjaya beliau dalam bidang perubatan mendorongnya bersikap sebegitu.

Berbeza dengan dunia hiburan, Hafiz perlu memperlihatkan personaliti yang lebih santai dan bersahaja. Mudah kata, harus kelihatan selari sebagai seorang anak seni.

“Bukan saya nak cakap perlu ada imej bad boy, tapi cukup untuk peminat dapat membezakan bila waktunya saya sebagai doktor dan penyanyi. Disebabkan itu saya memilih untuk muncul dengan rambut yang sedikit panjang selari dengan status seorang penyanyi,“ akhirinya menutup perbualan bersama SinarPlus.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram