KUMPULAN popular dari Korea Selatan, Super Junior mengotakan janji untuk menghiburkan peminat setia mereka di Malaysia menerusi konsert jelajah dunia, Super Junior Super Show 9: Road.

Super Junior yang sepatutnya kembali ke Malaysia tiga tahun lalu menerusi siri jelajah Super Show 8: Infinite Time tidak menjadi kenyataan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia pada Mac 2020.

Justeru, Super Junior Super Show 9: Road paling dinanti-nantikan peminat setia mereka yang digelar Elf selepas kumpulan yang pada asalnya dianggotai 12 ahli itu kali terakhir hadir ke Malaysia menerusi Super Show 5 pada November 2013.

Biarpun Super Junior kini bersaing dengan kumpulan baharu yang jauh lebih popular seperti BTS, Blackpink, TVXQ, EXO, ASTRO dan ramai lagi, namun mereka masih mempunyai kelompok peminat tersendiri.

SUPER JUNIOR
Sesekali menyapa peminat dengan dialog Bahasa Melayu, ternyata kehadiran SuJu diterima baik.

Buktinya, kira-kira 10,000 peminat hadir ke konsert yang dianjurkan Star Planet dan disokong Tourism Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil pada Isnin. Malah rata-rata sudah mula berada di pekarangan stadium sejak pagi lagi biarpun pintu stadium hanya dibuka pada jam 3 petang.

Siri jelajah kali ini menampilkan lapan anggota Super Junior iaitu Siwon, Donghae, Kyunhyun, Leeteuk, Shindong, Ryeowook, Yesung dan Eunhyuk.

Ketika selesai menyampaikan empat lagu di segmen pertama, Shindong dalam ucapannya mengakui agak risau dengan penerimaan peminat terhadap kunjungan mereka ke sini kali ini.

“Lama kami membuatkan anda tertunggu-tunggu untuk kembali semula ke Kuala Lumpur.

“Sewaktu berlepas ke sini, saya sedikit risau dengan sambutan serta kehadiran peminat ke konsert ini, namun terbukti lokasi hari ini baik dari pelbagai sudut.

“Terima kasih, kami sayang anda, Malaysia,” katanya.

SUPER JUNIOR
SuJu memberikan persembahan bertenaga biarpun masing-masing sudah berusia lebih 34 tahun.

Menerusi konsert yang berlangsung selama tiga jam bermula 5 petang itu, mereka mempersembahkan 30 buah lagu pelbagai rentak daripada rancak, balada, mahupun ‘broadway’.

Enam persalinan

Biarpun rata-rata sudah berusia 34 tahun sehingga 39 tahun, namun kelapan-lapan anggota Super Junior memberikan persembahan cukup bertenaga.

Iklan

Bukan itu sahaja, kumpulan itu turut mengambil kesempatan tampil dengan enam persalinan mengikut enam segmen yang ada. Ketika proses menukar baju, pihak produksi tampil bijak memaparkan video mengenai anggota kumpulan ini dengan pelbagai kisah, disesuaikan mengikut segmen.

Antara lagu-lagu yang diperdengarkan pada konsert itu seperti Sorry Sorry, Bonamana, Mr. Simple, House Party, Latte, Devil dan My Wish.

SUPER JUNIOR
Kemunculan dengan imej Broadway dan lakonan SuJu mencuit hati peminat.

Secara jujurnya, dalam banyak konsert yang pernah penulis hadiri, Super Junior tidak pernah menghampakan peminat dengan set pentas luar biasa, di mana mereka dapat dilihat secara sama rata di beberapa sudut pentas yang dibina berhampiran dengan kerusi penonton.

Pasti berbaloi buat mereka yang membeli tiket, sama ada mahal atau pun murah kerana anggota kumpulan ini tidak lokek untuk berjalan dan menghampiri peminat yang hadir.

Iklan

Sedikit info mengenai kumpulan yang memulakan karier seni sejak 2005 bersama SM Entertainment itu pada asalnya mempunyai 10 anggota iaitu Leeteuk, Heechul, Yesung, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook dan Kyuhyun.

Kumpulan itu kemudiannya bertambah kepada 12 orang dengan penyertaan Han Geng, Kibum dan Kangin bertukar ganti.

Sepanjang 17 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Super Junior sudah meraih lebih 170 anugerah baik di dalam mahu pun luar negara.