TEAM Pagi Suria kini tampil lebih segar menerusi penyertaan Suria Borhan sebagai rakan penyampai baharu yang melengkapi segmen pagi yang diterajui oleh Ajak dan Fizi Ali pada setiap Isnin hingga Khami, jam 10 pagi, bermula Isnin.

Suraya yang sebelum ini bertugas menerusi segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahira dan Tyzo itu juga akan mengendalikan segmen Carta Suria Top 40 bersama Fizi Ali pada setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 2 petang serta segmen Hello Suria pada jam 2 petang hingga 6 petang, hari yang sama.

Penyertaan tersebut sekali gus menjawab tanda tanya ramai berhubung pengganti tempat Issey Fazlisham dalam Team Pagi Suria selepas meninggalkan stesen radio tersebut sebulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Suria FM terus giat melancarkan pelbagai kempen dalam usaha membantu orang ramai yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Terbaru stesen radio popular itu melancarkan slot Tabung Pendengar Suria menerusi segmen Team Pagi Suria bermula hari ini.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, inisiatif itu merupakan idea asal daripada penyampai Suria dan dikembangkan menjadi salah satu pengisian di dalam segmen Team Pagi Suria.

“Ketika situasi mencabar ini, Suria FM banyak menerima panggilan luahan perasaan dan perkongsian kisah hidup daripada pendengar setia kami.

“Ada yang menghubungi kami menyatakan tiada makanan pada hari ini, tidak dapat membeli keperluan harian dan sebagainya.

“Jadi kami fikirkan apa yang boleh dilakukan bagi membantu mereka secepat mungkin pada hari itu juga”, tambah DJ Lin.

Iklan

Bagi pendengar yang ingin memohon bantuan, boleh mendaftarkan butiran peribadi beserta sebab mereka perlukan bantuan Tabung Pendengar Suria dan #TabungPendengarSuria di WhatsApp Suria FM.

Iklan

Penyampai Team Pagi Suria akan memilih seorang pendengar setiap hari untuk menerima bantuan wang tunai berjumlah RM100 yang akan dikreditkan kepada akaun pendengar pada hari sama.

Sementara itu, bersempena sambutan Hari kemerdekaan, mereka yang berbakat melukis boleh menyertai peraduan Perarakan Merdeka Suria X KL Sketch Nation.

Bagi yang berminat, hantarkan lukisan atau ilustrasi unik karakter pilihan mereka mengikut template dan tema patriotik harian yang disediakan di laman web suria.my/perarakanmerdeka2021 sebelum 20 Ogos ini.