STESEN radio Suria FM telah mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan dalam peratusan jumlah pendengar sekaligus mengekalkan kedudukan Suria FM di tangga keempat teratas dalam kalangan stesen radio berbahasa Melayu dan juga secara keseluruhan di antara radio komersial di Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, Suria sentiasa positif dalam usaha meningkatkan prestasi radio saban tahun.

“Peningkatan jumlah pendengar mingguan sebanyak 11.9 peratus (%) yang dibuktikan melalui keputusan kaji selidik radio menjadi satu berita gembira buat Suria FM.

“Walaupun industri radio terkesan dengan pandemik Covid-19, namun Suria FM tetap sentiasa berusaha memberikan kandungan segar dan menghiburkan selari dengan sasaran pendengar kami, sekaligus menarik lebih ramai orang untuk mendengar dan mengikuti Suria walaupun hanya duduk di rumah.

“Terima kasih kepada pendengar yang setia menjadikan Suria radio pilihan kegemaran anda dan terima kasih juga kepada pihak penaja serta syarikat-syarikat pengiklanan yang mempercayai jenama Suria,” katanya.

Berdasarkan keputusan kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini, stesen radio Suria FM berjaya mencatatkan peningkatan pendengar mingguan tertinggi di antara stesen radio berbahasa Melayu di Malaysia iaitu sehingga 3.09 juta pendengar daripada 2.76 juta pendengar pada kaji selidik sebelumnya.

Barisan penyampai Suria yang mempunyai pengikut tersendiri dalam segmen yang dikelolakan. (FOTO: Suria FM)

Segmen utama di Suria FM iaitu Suria Cinta kekal sebagai segmen radio yang mempunyai tempoh masa mingguan tertinggi dihabiskan untuk mendengar (TSL) di antara stesen radio komersil berbahasa Melayu iaitu selama 3 jam 17 minit sepanjang Ahad hingga Jumaat dari jam 8 malam hingga 1 pagi.

Segmen Team Pagi Suria kelolaan Ajak, Fizi Ali dan Suraya Borhan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat (6 hingga 10 pagi) pula mencatatkan peningkatan peratusan pendengar mingguan tertinggi sebanyak 22%.

Iklan

Sementara segmen Gaya Suria kelolaan Cik Piah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat (10 pagi hingga 1 tengahari) dan juga Muzik Top Suria (1 tengah hari hingga 3 petang) pula mencatatkan peningkatan peratusan pendengar mingguan dan eksklusif yang tertinggi di antara semua stesen radio berbahasa Melayu.

Diikuti segmen Suria Petang yang dikelolakan oleh Sharifah Shahirah dan Tyzo pada setiap hari Isnin hingga Jumaat (3 petang hingga 7 malam) pula berjaya mencapai 1.7 juta pendengar setiap minggu.

Iklan

Bukan itu sahaja, platform digital kreatif Suria iaitu media sosial Suria Malaysia, laman web suria.my dan YouTube Suria TV turut mencatatkan peningkatan sehingga 2.5 juta pengikut dan 214 juta jumlah tontonan.

Tidak ketinggalan jumlah pendengar dalam talian menerusi laman web dan aplikasi Suria turut meningkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak 51 juta pendengar.