PEMERGIAN ibu tercinta, Wan Faaizah Karim pada Ogos lalu secara tidak langsung telah merentap jiwa penyanyi berbakat besar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly.

Tidak mahu terus hidup dalam kesedihan, penyanyi yang baharu menginjak ke usia 28 tahun itu mempunyai cara tersendiri untuk mengingati wanita yang dipanggil umi.

Menurut Syamel, jalan yang terbaik selepas pemergian ibu tercinta adalah dengan mencipta sebuah lagu yang dapat mengingatkan beliau tentang sosok wanita istimewa yang telah melahirkannya ke dunia ini dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

Lagu Bila Kau Tiada merupakan hasil nukilan sepenuhnya oleh Syamel dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

“Saya telah kehilangan penyokong nombor satu saya iaitu umi, beliaulah yang selalu berada bersama saya sewaktu saya mula-mula masuk ke bidang seni selain ayah dan ahli keluarga yang lain.

“Lagu Bila Kau Tiada memang sengaja saya ciptakan bagi mengingati umi buat selamanya dan secara umumnya ia juga boleh ditujukan buat sesiapa sahaja seperti isteri, suami, ibu dan bapa mahupun kekasih.

“Kiranya ia juga boleh diletakkan dalam pelbagai situasi mengenai seseorang yang reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi dan pada masa yang sama terlampau rindu dengan orang tersayang yang telah pergi buat selamanya,” jelasnya.

Syamel memilih untuk mengingati ibu tercinta menerusi lagu.

Lagu yang berdurasi 3:50 minit itu dialunkan dalam nuansa balada pop yang sememangnya menjadi forte Syamel tatkala mula-mula bergelar penyanyi sejurus tamat pengajian di Akademi Fantasia pada 2015.

Jika diamati setiap bait lirik, ia pasti meruntun hati sesiapa yang mendengarnya ditambah pula dengan vokal Syamel yang lunak serta menggamit perasaan.

Iklan

“Jujur saya katakan bahawa ketika memasuki studio milik Sharon Paul, hati rasa berdebar kerana harus mempersiapkan mental serta emosi buat lagu ini, sehingga terpaksa saya ulangi beberapa kali sampailah proses rakaman selesai sepenuhnya.

“Namun Sharon mengerti dengan apa yang cuba saya sampaikan agar ada ‘jiwa’ dalam nyanyian saya,” ujarnya.

Video muzik telah dilancarkan serentak dengan single terbaharunya itu memaparkan perjalanan hidup Syamel dari kecil sehingga bergelar penyanyi yang turut mempamerkan emosinya yang merindui seseorang yang tidak mungkin akan kembali lagi.

Iklan
Kehadiran Ernie dan anak yang bakal lahir tidak lama lagi sedikit sebanyak mengubati hati Syamel.

Harapan Syamel yang bakal bergelar bapa beberapa bulan sahaja lagi, lagu itu menjadi ‘peneman’ kepada mereka yang kehilangan.

“Saya berharap agar single Bila Kau Tiada dapat diterima oleh semua dan menjadi lagu ‘peneman’ kepada mereka yang kehilangan dan boleh didengar apabila mereka terlampau merindukan seseorang,” katanya.

Lagu Bila Kau Tiada boleh dimuat turun di iTunes Store dan didengari pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.