SETELAH hampir dua tahun Aidilfitri tidak dapat diraikan disebabkan pandemik Covid-19, sambutan pada tahun ini cukup dinantikan ramai apabila negara kini memasuki fasa peralihan endemik.

Perasaan sama turut dirasai penyanyi Syamel yang mengakui lebaran kali ini cukup berbeza buatnya, apatah lagi setelah bergelar bapa kepada seorang cahaya mata perempuan bernama Nur Khawla Soleha.

Menzahirkan keterujaan itu, Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, tampil dengan sebuah single raya berjudul Erti Lebaran.

“Alhamdulilah pada tahun ini saya telah bergelar bapa. Perasaan gembira dan teruja menyelubungi diri kerana tidak sabar hendak mengajarkan ilmu-ilmu bermanfaat buat Khawla.

“Kini kehidupan saya dan isteri, Ernie Zakri lebih bermakna dengan kehadiran puteri sulung kami.

“Lebih istimewa, pada tahun ini saya berkesempatan untuk merakamkan lagu Raya sulung secara solo kerana mood yang dirasai ternyata begitu berbeza,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut tentang lagu ciptaan Yuka Kharisma dan terbitan Rocketfuel Entertainment itu, figura 29 tahun itu berkata, pemilihan konsep muzik tradisional yang diterapkan dalam lagu tersebut diharapkan dapat menggamit nostalgia raya pendengar.

“Bagi penggemar lagu raya klasik, Erti Lebaran bakal menjadi pilihan kerana konsep muzik tradisional yang ditonjolkan dengan melodi malar segar daripada paluan gendang dan petikan akordion jelas menggamit nostalgia Aidilfitri zaman dahulu.

“Saya terinspirasi menghasilkan lagu ini daripada kecintaan terhadap karya-karya lagu raya lama nyanyian Allahyarham Tan Sri S.M. Salim dan Datuk Jamal Abdillah yang mengimbau kenangan lalu bersama orang tersayang.

“Langkah yang saya ambil ini agak seimbang apabila artis lain muncul dengan konsep moden, manakala saya pula mengetengahkan kualiti bunyi lama dengan nilai sentimental yang cukup berharga,” katanya.

Kehilangan ibu

Rakaman single Erti Lebaran hanya memakan masa selama sehari, begitu juga dengan pembikinan video muziknya (MV) juga mengambil tempoh masa sama dengan konsep ringkas dan tersendiri.

Iklan

Lagu tersebut mengisahkan tentang keadaan menjelang Aidilfitri setelah diduga dengan bencana dan akhirnya muncul kembali sinar kegembiraan apabila berpeluang pulang ke kampung halaman bertemu orang tua dan sanak-saudara.

Namun buat penyanyi Hidup Dalam Mati itu, situasinya berbeza apabila telah kehilangan ibu pada Ogos tahun lalu.

“Tahun lalu umi telah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Sedih yang dirasai tidak tergambar peritnya. Bagaimanapun, pada tahun ini saya dan isteri dikurniakan Khawla yang menjadi pengubat luka dan duka di hati.

Iklan

“Buat #Syamelovers, semoga lagu ini dapat mengubat rindu mereka yang menanti buah tangan terbaharu daripada saya. Harap semua dapat menerima lagu ini dengan hati terbuka dan penuh kegembiraan,” katanya.

Lagu Erti Lebaran boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar melalui semua aplikasi penstriman atas talian. MV single ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.

(FOTO: Rocketfuel Entertainment)