PERNAH tular di YouTube dengan alunan suaranya menerusi cover Hanya Rindu versi bahasa Arab, bakat artis baharu naungan Tarbiah Sentap Records, Syed Salahuddin, mula dikenali dalam kalangan peminat irama nasyid di nusantara.

Buktinya, menerusi lagu-lagu cover dalam versi bahasa Arab yang dihasilkan sebelum ini telah berjaya memikat hati para pendengar hingga mendapat liputan pihak media dari Indonesia.

Terbaharu, pemuda kacukan Arab-Melayu itu muncul dengan single perdananya berjudul Iktiraf.

Berkongsi keistimewaan lagu Iktiraf, Syed berkata, lirik lagu berkenaan diolah daripada sebuah syair Arab tradisional dan turut disulam bersama doa-doa amalan para ulama dan Nabi.

“Pada saya keunikan Iktiraf terletak pada bait liriknya. Kita himpunkan beberapa doa dan juga syair, yang mana semuanya digabungkan dalam satu lagu.

“Lirik pada rangkap awal Iktiraf ini diolah daripada doa yang diajarkan oleh seorang ulama bernama Syeikh Mutawalli Sya’rawi, kemudian doa yang diajarkan baginda Rasulullah SAW dimasukkan dalam rangkap yang seterusnya.

“Doa taubat yang pernah dilafazkan Nabi Adam AS saat diusir dari syurga juga ada diselitkan dalam lagu ini.

“Pendek kata, siapa yang hafal lirik lagu ni, sekali gus akan hafal maksud beberapa doa taubat,” ujarnya.

SYED SALAHUDDIN
Biarpun masih baru dalam industri muzik, Syed sudah mendapat perhatian sehingga ke Indonesia.

Tambah penyanyi yang berasal dari Ipoh, Perak itu, dia juga cuba membawakan kelainan dalam penyampaian lagu tersebut berbeza dari artis-artis Tarbiah Sentap lain.

“Saya berhasrat untuk menerapkan gaya lenggok irama Melayu dan Arab dalam karya-karya saya yang akan datang.

“Harapnya kelainan ini akan memberi lebih variasi kepada pendengar dan penggemar irama nasyid nusantara,” jelasnya.

Iklan

Lagu dan video muzik Iktiraf kini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube Tarbiah Sentap dan sedia dimainkan di semua platform digital.

Pernah bekerjasama dengan Maher Zain

Dalam pada itu, berkongsi pengalamannya dalam dunia nyanyian, graduan Kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar itu pernah dilamar oleh syarikat Awakening Records untuk membantu menyiapkan album Maher Zain ketika masih bergelar mahasiswa.

SYED SALAHUDDIN
Kenangan ketika bekerjasama dengan Awakening Records.

“Sebelum ini saya pernah diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Awakening Records bagi menyiapkan rakaman suara latar dua album Maher Zain dengan bantuan artis popular Mesir, Hamza Namira.

Iklan

“Proses merakamkan suara latar dua album tu mengambil masa kira-kira dua bulan.

“Alhamdulillah, itu satu pengalaman yang sangat menarik dan banyak saya belajar pada masa itu dari segi cara kerja mereka dan proses kerja-kerja rakaman yang mereka buat.

“Pengalaman itu sedikit sebanyak membantu dalam membina keupayaan sebagai penyanyi nasyid dan pendakwah dalam dunia seni,” katanya menutup perbualan.