JIKA penyanyi Syura Badron mengakui sudah memaafkan rakan seangkatannya, Siti Nordiana, bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan Solo memilih jalan berbeza.

Jelas Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, dia sebolehnya enggan mengganggu proses mahkamah membabitkan mereka.

“Kalau bab-bab berkaitan mahkamah, saya tak berani nak komen lebih. Lagipun saya sudah serahkan kepada peguam untuk pengadilan, justeru saya tak nak mengganggu proses mahkamah,” ujarnya ketika ditemui pada Hari Usahawan Negara di World Trade Centre di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Tambah Lan Solo, sebagai manusia biasa, dia sudah biasa untuk meminta maaf dan memaafkan sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya.

“Insya-Allah setakat ini, maaf, minta maaf dan memaafkan itu saya sudah praktikkan dengan keluarga dan orang terdekat.

“Jadi, saya sentiasa memohon maaf dan juga memaafkan orang sekeliling. Saya rasa tidak timbul isu memohon maaf dan memaafkan.

“Kes sudah diserahkan kepada peguam, saya bukanlah sesiapa untuk menilai atau memaklumkan sesuatu yang disoalkan seperti ini,” jelasnya.

Iklan

Selain Lan, beberapa rakan artis seperti Saharul Ridzwan, Syed Ali, Siti Fazurina, Adam Corrie, Azan Scan GV8, Qazem Nor, Mahmud Ali Basha, Amai Kamarudin dan Laila Nasir akan berada di Hari Usahawan Negara 2022 hingga esok bagi mempromosi produk masing-masing.

Terdahulu, Lan dan Syura bersama tiga lagi yang dinamakan sebagai defendan, iaitu isterinya, Nur Sheila, Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad masing-masing berdepan tuntutan saman sebanyak RM500,000 oleh Siti Nordiana.

Iklan

Penyanyi Angkara itu mendakwa, lima sekawan terbabit menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya melalui siaran langsung di Instagram.

Kelima-lima mereka juga pernah cuba menjernihkan hubungan melalui proses mediasi namun gagal menemui jalan penyelesaian terbaik.