SEPATUTNYA raya tahun ini tanpa mama, tapi jadi tanpa mama dan kakak.”

Demikian ungkapan penyanyi, Kaka Azraff yang tidak dapat menahan sebak di atas pemergian mengejut kakaknya pada Mac lalu.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff cukup terkesan apabila dua insan tersayang kini tiada disisi buat selama-lamanya hinggakan tiada rasa nikmat untuk menyambut perayaan Aidilfitri tahun ini.

Katanya, demi keluarga dan anak-anak allahyarhamah, beliau dan adik-beradik lain tetap meraikannya.

“Kakak meninggal mengejut, masih muda 39 tahun dan arwah tinggalkan empat orang anak. Pergi empat hari sebelum Ramadan.

“Allahyarhamah meninggal akibat jangkitan kuman yang berpanjangan selama dua minggu. Ia sudah sampai ke otak. Jadi raya tahun ini, sebenarnya tak nak (meraikan) tapi saya ada suami, anak-anak dan anak-anak arwah… kena (kuat).

“Kita bersedih takkan mereka kena juga, memang raya tahun ini.. paksa diri untuk meraikan Aidilfitri kerana budak-budak ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media program ‘The Hardest Singing Show’ yang berlangsung di The Gardens Theatre, The Gardens Mall Mid Valley City, Kuala Lumpur.

Malah, beliau bersama adik bongsunya kini membantu abang ipar mereka dalam membesarkan anak-anak arwah.

“Yang paling tua 14 tahun, kecil sekali tiga tahun. Bapa mereka pula anak tunggal, jadi pada siapa lagi nak dia harapkan selain saya dan adik bongsu.

Iklan

“Anak-anaknya sekarang duduk dengan adik saya. Adik saya sendiri yang tawarkan diri untuk menjaga mereka. Jadi, kami berdua sama-sama tolong untuk besarkan anak-anak kakak,” katanya.

Untuk rekod, ibu Kaka, Redida Aziz, meninggal dunia pada 7 Mei 2023 manakala kakaknya,
Nor Afida Noor Azraff meninggal dunia pada 8 Mac lalu.