BERPELUANG merakamkan semula lagu nyanyian arwah abangnya, Achik Spin, menjadi penghargaan yang cukup istimewa buat Tajul sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.

Apatah lagi, lagu berjudul Malam Semakin Dingin kembali membawanya kepada kenangan lalu bersama arwah yang cukup popular dengan lagu tersebut.

Menurut Tajul atau nama sebenarnya, Tajul Ariff Noor Md. Shari, 23, idea merakamkan kembali lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S itu tercetus daripada permintaan peminat.

“Lagu itu tiba-tiba hangat dan tular di laman sosial menyebabkan banyak permintaan yang mahukan saya merakamkan semula karya tersebut.

“Ketika pihak syarikat rakaman mengatur perancangan untuk projek itu, saya sangat gementar. Namun apabila diberitahu akan digandingkan dengan rakan saya, Afieq Shazwan barulah rasa lega dan terus bersetuju,” jelasnya.

Meskipun begitu, Tajul yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik itu mengharapkan agar peminat tidak membandingkan vokal dan cara nyanyiannya dengan Allahyarham Achik.

“Jangan bandingkan vokal saya dengan Achik. Walaupun kami adik-beradik, tentunya cara nyanyian dan kemampuan vokal kami berbeza. Saya sangat mengagumi vokal abang saya.

“Saya selalu nyanyi lagu ini ketika karaoke, tetapi ketika proses rakaman ia jadi lebih mencabar kerana bernada tinggi.

“Mujur saya mempunyai rakan duet seperti Afieq yang sangat membantu dan memudahkan proses rakaman,” akuinya.

Tambah Tajul, hatinya sebak setiap kali menyanyikan lagu Malam Semakin Dingin kerana cukup merindui arwah abangnya.

“Sewaktu merakamkan lagu ini, saya rasa sebak dan rindu pada arwah abang. Ketika hayatnya kami tidak terlalu rapat dan jarang berjumpa disebabkan dia sibuk dengan kerjaya seninya.

“Apa pun saya bersyukur dan gembira kerana dapat terlibat dengan projek istimewa ini,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Afieq Shazwan, 24, mengakui teruja dapat menyanyikan semula lagu nyanyian kumpulan Spin dan menganggap ia sebagai satu penghargaan buat Allahyarham Achik.

“Pada awalnnya saya hanya menyanyi lagu ini untuk suka-suka dan muat naik di aplikasi Tik Tok dan Facebook. Tidak sangka pula jumlah tontonan sangat memberangsangkan sehingga mencecah setengah juta di Facebook.

“Jadi apabila saya dapat peluang untuk duet lagu ini bersama Tajul yang juga merupakan adik Allahyarham Achik, saya terus bersetuju. Ia adalah satu penghargaan untuk arwah,” katanya.

Berkongsi proses rakaman lagu tersebut, Afieq berkata, ia mengambil sedikit masa kerana dilakukan berulang kali dan secara berasingan.

Iklan

“Kami mahu memberikan yang terbaik kerana lagu ini terlalu istimewa. Jadi walaupun vokal siap dirakamkan, kami tetap mahu melakukan penambahbaikan setiap kali mendengarnya kembali.

“Saya menyanyikan lagu ini mengikut feel 1990an. Bukan mahu meniru cara Achik, tetapi menghormati lenggok Melayu yang dinyanyikan penyanyi asal.

“Harapan saya agar pendengar dapat terima lagu Malam Semakin Dingin dalam nafas baharu versi 2021 ini,” katanya.

Lagu Malam Semakin Dingin kini boleh didapati di semua platform digital muzik seperti Joox dan Spotify. Dalam pada itu, muzik video lagu ini berjaya meraih 2 juta tontonan dalam masa tujuh hari dilancarkan.