PENANGAN pandemik Covid-19 benar-benar mengubah landskap dunia. Ekonomi negara terjejas. Banyak syarikat gulung tikar.

Natijahnya, ramai yang hilang pekerjaan.Anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian paling terasa. Penyudahnya, mereka bekerja di sektor berbeza daripada jurusan yang diambil di kampus.

Ada yang menjadi pemandu e-hailing. Mungkin kerjaya itu tak pernah dibayangkan langsung sebelum ini. Perasaan malu perlu diletak ke tepi. Paling penting poket kena tebal.
Pun demikian, apabila wang sudah membukit, mereka akan mula rasa seronok.

Guna duit anak

Maka, tidak hairanlah, sesetengahnya ada yang sanggup melepaskan peluang untuk kembali menyambung pengajian. Walau mereka bijak dan berpotensi, wang telah menggelapkan mata mereka.

Lebih tak seronok didengar, ada yang cakap ‘keluar universiti pada zaman sekarang pun, belum tentu ada peluang kerja menanti.’
Betul, tidak dinafikan ramai graduan yang masih lagi menganggur biarpun segulung ijazah sudah berada dalam genggaman. Namun, janganlah cepat berputus asa. Percayalah dengan sijil tersebut, anda masih berpeluang untuk maju ke depan.

Dr. Soo Wincci, Pensyarah bidang muzik dan perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkongsi pandangan mengenai isu ini.

“Apabila terbaca berita tentang 72 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia tidak berhasrat untuk menyambungkan pelajaran, hati saya jadi sakit.
Ingat, seandainya tiada ilmu yang mencukupi, harta yang banyak juga sukar dikendalikan.

DUNIA DAH TERBALIK
Sebenarnya, pelajaran boleh ditangguhkan sebentar, tetapi bukanlah selamanya. Cuba anda bayangkan, apabila semua orang mahu menjadi pemandu dan tidak berpelajaran, siapakah yang akan memimpin negara kita pada masa depan?

Zaman sekarang nampaknya sudah terbalik. Orang yang berpendidikan tinggi tidak dihargai, tetapi orang yang kaya dan ‘kosong’ itu yang dijadikan idola.
Mungkin hal tersebut terjadi berpunca daripada pengaruh media sosial yang mengalakkan semua cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

Pernah juga saya terdengar satu iklan yang mana slogannya berbunyi: “Tidak bijak tidak mengapa, janji kaya.” Soalan saya, adakah masyarakat kita betul-betul buta? Seperti kata pepatah Cina, tiada jamuan yang percuma di dunia ini.

Lumrah kehidupan kini, rata-rata manusia mahukan benda dengan cara paling mudah, selain tidak sukakan cabaran.
Selain itu, pengaruh kawan juga saya lihat sangat dominan. Begitu juga dengan influencer, TikTokers dan sebagainya.

Dah boleh buat ‘live’ di TikTok, caranya mudah sahaja

Gaya hidup mewah dan sering menunjuk-nunjuk harta kekayaan antara faktor generasi muda sekarang lebih beralih kepada kerjaya yang tidak memerlukan pendidikan tinggi.
Biarpun konten yang dihasilkan memalukan diri dan bersifat kontroversi, namun demi wang dan nama, segalanya diredah.

Begitupun kita harus ingat, pada era ini, klien akan memilih Key Opinion Leader (KOL) secara bijak. Mereka yang membuat aksi demi konten memang tidak akan bertahan lama.
Di luar negara, KOL sudah berinovasi dan bertukar kepada Key opinion Educator (KOE).
KOE antara lain memerlukan influencer memiliki ilmu yang mendalam untuk menghasilkan kandungan yang lebih bermanfaat untuk masyarakat.

Sijil kelayakan itu (KOE) merupakan sesuatu yang sudah pasti kena ada dalam genggaman.

Ya, di peringkat global semuanya sudah berubah. Ilmu menjadi senjata mereka dan merupakan harta yang tidak ternilai.

Berbeza dengan masyarakat kita di sini yang dilihat tidak mahu memandang jauh. Tidak hairanlah jika ada pakar motivasi yang popular di media sosial (bukan semua) merupakan golongan yang hanya mahu mempergunakan masyarakat kita.

Segelintirnya tergamak membeli sijil atau mendapatkan gelaran palsu semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Orang ramai yang tidak tahu hujung pangkal terpedaya. Setahu saya, ada yang sanggup membayar hampir RM30,000 kepada pakar palsu untuk menghadiri kelas yang dianjurkan.
Ia dikira sebagai satu skim penipuan yang besar. Saya cukup bimbang, isu berkenaan akan mempengaruhi dan mengelirukan pandangan generasi muda kita.

Iklan
https://www.pexels.com

Kalau mahu diikutkan, yuran universiti di universiti lokal jauh lebih murah daripada membayar sesi motivasi itu.

Menyelami isu yang dibincangkan ini, pada perspektif saya, kita tidak boleh menuding jari kepada satu pihak sahaja. Pelbagai pihak harus memainkan peranan masing-masing.

Pusat pengajian misalnya, berpijaklah di bumi nyata. Pihak pengurusan perlulah lebih kreatif dalam susunan subjek yang relevan. Kaedah pembelajaran juga perlu lebih sesuai dengan situasi sekarang.

Di samping itu, mereka juga perlu lebih bertoleransi. Janganlah kenakan yuran terlampau mahal kepada pelajar. Tajaan ataupun biasiswa perlu diperbanyakkan.

ILMU TANGGA KEJAYAAN
Dari satu sisi, persepsi bahawa tidak perlu belajar tinggi pun dapat gaji besar ini, boleh menjerumuskan anak-anak kita dengan pelbagai sindiket yang ditawarkan oleh syarikat palsu.

Jikalau pada masa akan datang, semua gig ekonomi merosot, anak muda pasti akan terperangkap dan mulalah menyalahkan pihak lain.
gig adalah salah satu pilihan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas (freelance) yang disokong dengan aplikasi teknologi.

Sebenarnya, Malaysia kini memerlukan rakyatnya memiliki sijil hingga ke peringkat Ijazah Sarjana ataupun Ijazah Doktor Falsafah.

Iklan

Percayalah, dengan itu, banyak benda yang anda boleh sumbangkan kepada negara. Apabila belajar sampai ke menara gading juga, anda dapat bekerjasama dengan individu-individu yang lebih berprestij.

Benar, ia satu perjalanan yang susah, tetapi pada akhirnya akan mendatangkan limpahan manfaat. Dengan ilmu juga, pelbagai perubahan boleh kita capai dan unjurkan.
Tidak hanya mengharapkan guru semata-mata, ibu bapa atau penjaga haruslah menggembleng tenaga untuk membimbing generasi pelapis negara.

https://www.pexels.com

Pesan saya, jangan menakutkan anak-anak jika tahu cabaran sedang menanti, sebaliknya sentiasa memotivasikan mereka. Elak memaksa untuk belajar sesuatu yang bukan minat mereka, selain berani mencuba sesuatu di luar zon selesa.

Percayalah dengan perumpamaan bahawa ilmu itu tangga kejayaan. Ingatilah kata-kata saya. Revolusi industi 4.0 akan menyaksikan banyak tranformasi. Justeru, jangan jadi orang yang ketinggalan. Luaskan minda dan melangkah terus ke hadapan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan