PENGLIBATAN gadis berusia 19 tahun ini dalam industri seni boleh dikatakan masih hijau lagi.

Namun minat Mia Lateefa terhadap dunia nyanyian sudah bercambah seawal usia 15 tahun lagi, bermula dengan penghasilan lagu-lagu cover bersama teman-teman secara suka-suka.

Minatnya itu kemudian bertukar menjadi serius sehingga mendorong pemilik nama penuh Mia Lateefa Keyte itu menghadiri kelas vokal secara profesional di Akademi Suara sehinggalah terlahirnya single pertama berjudul Hujung Dunia pada tahun lalu dan disusuli pula dengan single Nothing 2 Prove pada November tahun ini.

“Bidang seni sememangnya sebati dalam diri saya, saya sangat suka menari dan menyanyi dan apabila digabungkan maka ada magis yang terhasil,” ujarnya membuka bicara.

Walaupun baru sahaja tampil dengan single kedua, anak kelahiran Johor Bahru itu tidak menunggu lama untuk hadir dengan projek baharu.

Lebih menarik, bukan hanya satu single, gadis berdarah kacukan Melayu-New Zealand itu tampil dengan dua lagu iaitu Anima untuk versi bahasa Melayu dan Anima Bella dalam Bahasa Inggeris bagi memenuhi selera pendengar.

Bercerita lanjut mengenai projek terbaharunya itu, single pop dansa itu dicipta oleh penyanyi rap, Kayda Aziz, bersama rakan-rakan komposer seperti Aiman Rijal, Christiana Chai dan Alwani Badaruddin, dan diterbitkan oleh Deep Faith Entertainment.

“Dalam single Anima dan Anima Bella, saya cuba tonjolkan sisi yang lebih dewasa serta berani dan lari daripada imej keanak-anakan.

“Kini, saya lebih gemar bereksperimentasi dengan muzik demi menghasilkan bunyi ‘signature’ Mia Lateefa,” jelasnya.

Tambah Mia, Anima bukan bermaksud animasi seperti yang disangkakan tetapi bermaksud jiwa dalam bahasa Itali.

Iklan

“Lagu ini tiada kena-mengena dengan kisah peribadi saya, tetapi bagi sesiapa yang pernah mengalaminya, cuba selami liriknya dan saya pasti pendengar mengerti apa yang disampaikan,” jelasnya.

Mia bekerja dengan ramai komposer muda dalam Anima dan Anima Bella.

Sumber inspirasi

Sebagai anak seni yang masih mengorak langkah dalam industri hiburan, Mia menjadikan Yuna sebagai sumber inspirasi kerana pencapaian yang diraih penyanyi itu di peringkat antarabangsa.

“Saya menjadikan Yuna sebagai idola saya kerana kerja keras yang dilakukannya membuahkan hasil sehingga berjaya menempa nama di luar negara, selain pernah bekerjasama dengan nama-nama besar industri muzik dunia.

Iklan

“Semoga single Anima dan Anima Bella menjadi titik tolak saya ke arah itu. Selainnya saya berharap agar single terbaru ini mendapat tempat di hati penggemar muzik dan membuatkan anda mahu bergoyang,” ujarnya.

Lagu Anima dan Anima Bella boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Video muzik lagu ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia dan saluran YouTube Mia Lateefa Keyte.