NAMA Chez Hamsan dalam industri hiburan tanah air barangkali tidak asing di kalangan selebriti dan teman media.

Biarpun hanya dikenali di belakang tabir, namun ada juga yang mengenali lelaki berusia 36 tahun itu sebagai pendandan rambut selebriti.

Berkongsi kisah terbaharunya, Chez memaklumkan, perniagaan salun rambut, Chez Hair Studio di Setapak yang diusahkan sejak lebih sedekad lalu, terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19.

Namun mujur sebelum itu, Chez seperti dapat menghidu segala kemungkinan terjadi dengan berjinak jinak dalam dunia jualan produk rangkaian penjagaan rambut termasuk jenamanya sendiri, Chez Professional.

Adat ketika ditimpa kesusahan dan berdepan segala pancaroba kehidupan, hidupnya yang hampir jatuh tersungkur turut dipandang sinis. Malah lebih teruk dijauhi teman yang selama ini pernah erat di sisi.

Mujur bukan semua kawan atau insan rapat bertindak sedemikian dengan menjauhinya. Malah sejak berkecimpung di arena dandanan rambut ini, Chez turut membina pengaruh dan dikenali teman selebriti.

Antara artis yang masih menyokongnya biarpun diuji itu ini seperti Datuk Fizz Fairuz, Nad Zainal, Ira Mohd Amin, Riena Diana, Mona Allen, Datin Anne Ngasri, Hairul Azreen, Norman Hakim, Sharifah Sakinah, Sharifah Shahirah, Maria Tunku Sabri, Josiah Hogan, Izreen Azminda dan ramai lagi.

“Benar kejatuhan dan ujian ini akan buat kita kenal siapa kawan sebenar atau lawan. Yang hanya datang ketika kita mempunyai segala galanya dan pergi di saat kita diuji. Lumrah hidup. Kalau dikenangkan memang ia boleh buat saya bergenang air mata.

“Ini bukan drama atau dongengan. Tapi realiti yang benar benar terjadi. Bila senang, mungkin ramai mendekati kita. Tapi sebaliknya, akan ada yang pura pura tak kenal atau terus menjauhkan diri.

“Saya bukan membodek, tapi nama artis yang terus setia menyokong itu bukti pengaruh yang mereka miliki bukan atas kapasiti kerja glamor atau tuntutan kerja semata mata.

“Ada di kalangan mereka berstatus popular dan ramai peminat, tapi masih tebal dengan jiwa kemanusiaan,” katanya ketika ditemui pada majlis Chez Upgraded 22 dan turut memaklumkan akan kembali membuka salun rambut di lokasi baru di Shah Alam.

Josiah Hogan (kiri) dan Norman Hakim (kanan) turut hadir pada majlis pelancaran Chez Upgraded 22 baru-baru ini.

Tambah Pengarah Urusan Chez Professional itu, keputusan menghentikan operasi salun di era pandemik juga menghamparkan hikmah tersendiri.

“Sedih pastinya bersarang ketika salun ditutup. Situasi ini bukan seperti hubungan dengan kekasih sampai jadi bolak balik nak menyelamatkannya.

“Saya tanya kawan termasuk di kalangan orang Cina, mereka cakap jika sudah terlalu lama berniaga, mungkin cari angin baru.

“Pandemik yang datang jadi klimaks untuk saya buat keputusan besar. Lepaskan sesuatu yang disayangi (salun) dan pertaruh diri ke bidang perniagaan barangan rambut yang belum pasti hujung pangkalnya.

Iklan

“Tahun 2020 umpama satu turning point dalam hidup dan perniagaan. Mula tukar modul bisnes, gaya hidup, kerja dari rumah dengan membiasakan serba serbi aplikasi dalam talian,” katanya.

Semakin berani

Norma baharu jelas sekali mengubah sikap dan cerminan diri Chez yang pemalu kepada berani mengambil risiko dan cabaran.

“Bayangkan dulu ibarat hanya kepakaran dari tangan saja yang berjalan membentuk dan menggayakan rambut diingini. Tapi apabila kena jual produk sendiri, saya kena buat lintas langsung dengan cakap tergagap gagap.

“Saya cabar dan lawan segala kelemahan diri yang tebal dengan sikap malu dan berat mulut. Tak ada ilmu… tak ada apa apa, saya cuba ke depan. Saya redah… belasah. Tapi perlahan demi perlahan, saya mula terbiasa. Sambutan produk dijual cukup membanggakan dan luar biasa.

Iklan

“Ketika itu, saya ambil tempahan hinggalah ke proses akhir penghantaran. Hujung bulan pertama pandemik, jualan produk dicapai membuat saya menarik nafas lega. Kalau lagi fokus, mungkin lagi besar impaknya,” katanya.

Tahun lalu menjadi kemuncak untuk memastikan produk jenama Chez Professional terus mencipta fenomena.

Produk dipasarkan di bawah syarikat Chez Professional Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 21 November 2020 berpengkalan di Taman Melawati dengan sembilan pekerja.

Sebelum ini, dua salunnya di Bandar Sri Permasuri ditutup terlebih dahulu dan disusuli di Setapak pada April 2020.