TIDAK dinafikan lagu Bertakhta Di Hati memberikan impak besar terhadap kerjaya nyanyian Farahdhiya.

Malah, lagu itu juga dianggap ‘berhantu’ kerana kekal menjadi siulan anak muda hingga kini.

Biarpun Farahdhiya, 38, atau nama sebenarnya Nur Farahdhiya Mohd Amin muncul dengan single baharu, boleh dikatakan masih tidak dapat menandingi kehebatan lagu tersebut. Disebabkan itu juga, peminat sentiasa merindukan karya atau lagu balada yang menyentuh jiwa.

Terbaharu, Farahdhiya atau mesra disapa Farah buat pertama kali sepanjang 18 tahun pembabitannya sebagai penyanyi dan anak seni menghasilkan sendiri lagu Tak Terganti yang disifatkan cukup dekat di hati.

“Sebenarnya tahun ini ada juga keluar dengan lagu duet dengan penyanyi baharu Korea. Tapi lagu itu bukan bergenre balada, ia tak berapa nak menjadi sebab penyanyi pun balik Korea.

“Ramai sebenarnya peminat saya yang menunggu dan selalu bertanya bila nak keluar lagu balada macam Bertakhta Di Hati. Jadi, ini adalah lagu pertama yang saya cipta sepanjang 18 tahun dalam industri.

“Sebelum ini tak pernah terfikir untuk cipta lagu sendiri walaupun selalu ada yang bertanya. Saya tak nak buat sebab lebih baik beri kepada mereka yang dah pakar.

“Tapi yang ini pun saya tak rancang kerana melodi itu datang dengan sendirinya. Bila dah ada melodi saya rasa macam sedap pula dan saya rasa kenapa tidak untuk buat lirik pula. Jadi terhasillah lagu Tak Terganti ini.

“Lagu ini sangat istimewa buat saya sebab pertama kali cipta lagu dan tulis lirik ditambah pula dengan genre balada. Saya harap lagu ini dapat mengubat rindu peminat yang menunggu lagu balada daripada saya,” katanya.

FARAHDHIYA
Selain menulis, Farahdhiya turut menyumbang idea untuk pembikinan klip video lagu ini.

Menurut Farah, lagu Tak Terganti adalah nukilan khas yang ditujukan buat arwah bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir yang meninggal dunia pada 2020.

“Setiap hari saya cuba mencari perkataan yang betul untuk lirik ini berdasarkan perasaan saya terhadap ayah.

“Memang mustahil untuk saya rangkumkan semua perasaan dalam satu lagu. Tapi ia sedikit sebanyak apa yang dapat saya kongsikan.

Iklan

“Sekurang-kurangnya ada juga memori sebuah lagu yang saya pernah cipta. Ia memori yang sangat baik untuk disimpan selamanya,” jelas naib juara Gegar Vaganza musim kedua itu.

Lagu tema

Berkongsi lanjut mengenai lagu Tak Terganti yang turut menghiasi lagu tema drama Roti Cicah Susu yang ditayangkan di slot MegaDrama Astro, Farah berkata, ia dihasilkan awal tahun lalu dan siap dirakam hujung tahun lalu.

“Dalam 18 tahun merakam lagu, selalunya saya ambil masa sekejap saja dalam dua jam dah selesai sebab saya seorang yang cepat dalam studio.

Iklan

“Tapi lagu ini makan masa paling lama dan susah untuk disampaikan. Saya rasa dalam lima hingga enam jam juga tempoh rakaman.

“Sudah tentu bila menyanyikan lagu ini sentiasa terbayangkan arwah ayah sebab setiap patah perkataan dalam lagu ini ada kena-mengena dengan arwah. Jadi, apa yang dinyanyikan memang sentiasa terbayangkan ayah.

“Saya sangat bangga dengan diri sendiri sebab selama ini rasa macam tak boleh dan tak reti nak buat. Jadi bila dah buat sendiri, sebenarnya boleh saja.

“Mungkin selepas ini akan ada lagi, siapa tahu kan?” katanya yang mengakui idea pembikinan muzik video juga datang daripada dirinya sendiri.