PENYANYI yang kian meningkat naik, Aisha Retno tampil dengan buah tangan terbaharu untuk para peminat menerusi single Sutera.

Mendengar pada tajuknya, pasti ramai yang dapat meneka penceritaan lagu tersebut disampaikan secara metafora.

Gadis berdarah campuran Malaysia-Indonesia itu mengakui Sutera berkisarkan kisah permaisuri Jawa yang pernah dilukai oleh beberapa orang lelaki pada masa lalu.

Penceritaan Sutera tidak hanya terhenti di situ kerana ia turut disulami dengan mesej untuk memperkasakan golongan wanita.

“Lagu ini adalah lambang seorang permaisuri Jawa. Kita tahu sutera sifatnya lembut, agung dan amat dihargai oleh ramai orang.

“Bagaimanapun, kalau dirosakkan kain itu, habislah tercemar keagungannya. Begitulah juga dengan permaisuri Jawa itu, kalau ada orang yang pernah sakiti hatinya pada masa lalu, maka tercemarlah juga perasaannya.

“Kita kena betul-betul jaga kain sutera, begitulah mesej lagu ini yang disampaikan secara metafora. Permaisuri Jawa ini kerap disakiti oleh beberapa jejaka pada masa lalu.

“Di bahagian korus lagu ini pula memberitahu untuk lupakan pengalaman pahit yang pernah dihadapi dan teruskan kehidupan menjadi seorang yang lebih baik.

“Jadi, lagu ini memupuk semangat cinta diri sendiri dan pemerkasaan wanita. Sebagai wanita, kita juga boleh berdiri teguh dengan kaki sendiri. Tidak dinafikan wanita perlukan seorang lelaki, namun diri sendiri mestilah kuat mengharungi kehidupan,” katanya.

Berbicara tentang kelainan yang ditampilkan dalam Sutera, Aisha menjelaskan gabungan elemen etnik Jawa dan muzik moden EDM menjanjikan perbezaan berbanding lagu-lagunya yang terdahulu.

“Saya banyak masukkan elemen etnik dalam lagu ini. Sebelum ini saya banyak lancarkan lagu genre balada tetapi kali ini saya tampil dengan genre berbeza dan turut menyelitkan elemen tarian dalam muzik videonya.

Iklan

“Lagu ini sangat catchy. Elemen etnik benar-benar membuatkannya istimewa. Di sebalik bunyi etnik atau tradisional, ia turut diselitkan elemen moden seperti EDM. Gabungan dua genre inilah yang menambah warna kepada lagu ini,” ujarnya.

Keluar zon selesa

Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu turut berkongsi cabaran menghasilkan pertaruhan terbaharunya. Menurutnya, dia perlu mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

AISHA RETNO

Iklan

“Saya selesai hasilkan lagu ini dalam masa tiga hari sahaja termasuk proses penghasilan (producing). Selain itu, saya juga mencabar diri menerusi lagu pop etnik yang sangat berbeza berbanding apa yang orang telah lihat dalam lagu-lagu saya sebelum ini.

“MFMF yang bertindak selaku produser berjaya memantapkan lagi hasil akhir karya tersebut. Mereka sangat pantas buat kerja sebagai produser. Siap dalam masa satu hari sahaja,” jelasnya yang berharap single Sutera mendapat putaran radio selayaknya dan mampu menghiburkan hati para peminat.

Sutera boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, YouTube dan YouTube Music.