TIADA apa yang didambakan oleh seorang wanita bergelar isteri, melainkan bahagia bersama suami dan anak-anak yang menjadi pelengkap hidup.

Hal sama turut menjadi pegangan pelakon Datin Paduka Eina Azman, yang sentiasa meletakkan keluarga sebagai keutamaan meskipun terpaksa melupakan seketika kerjaya seni yang diminati.

Bagaimanapun setelah dua cahaya mata kesayangannya, Arianna Aubrey dan Karl Kareef semakin membesar dan kini menginjak usia enam tahun, pemilik nama sebenar Ainur Syakina binti Azman, 27, kembali memenuhi tawaran berlakon.

Selepas mencuri perhatian ramai menerusi drama The Maid dan The Hotel pada tahun lalu, beliau kini tampil dengan filem baharu, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang kini sedang hangat ditayangkan di Astro First sejak 3 Mac lalu.

Menurut Eina, penglibatan beliau dalam naskhah tersebut adalah kerana rasa teruja untuk kembali bekerjasama dengan Allahyarham Mamat Khalid selepas kali terakhir berlakon di bawah arahan pengarah itu menerusi filem Zombie Kilang Biskut pada tahun 2014.

“Sebenarnya ketika dilamar membintangi filem ini, saya turut didatangi beberapa tawaran kerja lain dalam masa sama.

“Namun disebabkan karakter berbeza yang ditawarkan kepada saya menerusi watak hantu Cik Mek dan rasa teruja untuk kembali bekerjasama dengan arwah abang Mamat, saya bersetuju mengambil tawaran ini.

“Saya terharu apabila diberitahu, abang Mamat nak sangat saya menjayakan watak ini dan sama-sama terlibat dalam karya terbaharunya, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali,” ujar Eina.

Bagaimanapun beliau tidak menyangka hasrat tersebut tidak menjadi kenyataan apabila pengarah tersohor tanah air itu dijemput ILAHI pada 24 Oktober tahun lalu, seminggu sebelum pengambaran filem itu dijadualkan bermula.

“ALLAH adalah sebaik-baik perancang. Allahyarham meninggal dunia sebelum filem ini sempat memulakan penggambaran dan berita itu amat mengejutkan kami semua.

“Bila mendapat tahu beliau sudah tiada, saya rasa sangat sedih sangat kerana begitu teruja untuk kembali bekerja dengan arwah setelah sekian lama tidak bertemu.

“Sungguhpun begitu saya tetap teruskan penglibatan dalam filem ini atas permintaan isteri Allahyarham, selain sebagai tanda sokongan kepada anaknya, Amen Khalid yang mengambil tugas arwah sebagai pengarah, sekali gus menyempurnakan filem ini,” ujarnya.

Risau peningkatan kes Covid-19

Tambah Eina lagi, tanggungjawab tersebut cuba dilaksanakan dengan sehabis baik agar filem terakhir garapan Allahyarham itu dapat diterima ramai.

Iklan

“Menjayakan karakter Cik Mek ini agak menyeronokkan buat saya kerana banyak benda baharu yang saya dapat cuba dalam lakonan kali ini termasuk melakukan babak aksi pertarungan, selain perlu berdialog menggunakan bahasa baku.

“Saya banyak melakukan perbincangan dengan Amen dan sentiasa memastikan lakonan saya itu memenuhi apa yang dia mahukan sebagai pengarah.

“Saya harap semua orang dapat menonton filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali ini dan memberikan sokongan penuh kepada usaha Amen merealisasikan filem ini,” pintanya.

Dalam perkembangan lain, ibu muda kepada dua anak itu turut meluahkan kebimbangannya dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan kes agak ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Iklan

Beliau yang pernah positif Covid-19 dan melalui pengalaman menakutkan bersama suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah apabila dimasukkan ke hospital disebabkan virus berkenaan, mengakui kini lebih berjaga-jaga setiap kali keluar rumah.

“Kalau tengok kes sekarang, tak dapat dinafikan memang ada rasa takut yang menghantui. Namun kita tiada pilihan, terpaksa keluar bekerja dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Apa-apa pun saya cuba sebaik mungkin untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan, malah hampir setiap hari melakukan ujian kendiri di rumah, apabila keluar bekerja dan bertemu orang di luar.

“Saya pernah bergelar pesakit Covid-19 pada tahun lalu dan ia adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Jadi saya tidak mahu ia terjadi buat kali kedua dan memberi risiko kepada anak-anak yang masih kecil dan belum mendapat perlindungan (vaksin),” katanya.