NAMA Syed Indra Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso sememangnya sinonim dengan kumpulan Kopratasa.

Siso baru-baru ini membuat kejutan apabila tampil dengan sebuah single baharu berjudul Alif.

Kemunculan itu secara tidak langsung mengundang tanya tanya adakah Siso sudah meninggalkan kumpulan Kopratasa?

“Ini bukan kemunculan solo, hanya single sahaja. Lagu ini sudah tertangguh hampir dua tahun proses rakamannya,” ujarnya membuka bicara.

Alif merupakan hasil ciptaan lirik oleh Alim Gutrah, manakala lagunya dicipta sendiri oleh Siso.

Bercerita lanjut mengenai tarikan lagu Alif, Siso berkata, lirik lagu berbentuk ketuhanan ini sangat mendalam maknanya.

“Alim beritahu saya lagu ini dimulakan dengan 10 baris puisi yang penuh inti dan makna. Memaparkan ketinggian seni budaya yang masih memagarkan bacaan puisi di dalam lagu.

“Dia terinspirasi dengan kehebatan Buya Hamka dalam melayarkan kedalaman tafsiran ayat 1-5 surah al-Baqarah lalu datang ilham untuk menulis lirik lagu Alif.

“Setelah meneliti liriknya dan membuat sedikit permurniaan saya bersetuju mencipta dan menyanyikan lagu ini.

“Saya menghayati seperti menghayati lagu puisi ketuhanan yang lain. Nyanyi pun lebih kepada melontar maksud nak disampaikan, bukan kepada gaya nyanyi berlebihan.

Iklan

“Lagu ini juga mempunyai makna tersendiri buat saya kerana ia mengingatkan kita kepada kewajipan kita dimuka bumi. Sebagai penulis lirik, penyanyi, ayah, suami dan manusia kita ada peranan sebagai khalifah kecil semasa hidup,” katanya.

Siso bekerjasama bersama penulis lirik muda, Alif Gutrah dalam menghasilkan lagu Alif.

Siso berkata, apa yang diharapkan lagu ini memberi makna tersendiri kepada dunia seni tanah air.

“Semoga ia juga memberi sumbu baru kepada Kopratasa untuk kembali berbisa di masa akan datang.

Iklan

“Walaupun muncul secara solo dengan lagu ini, tetapi bayang Kopratasa masih melekat. Saya anggap ini ujian biasa untuk Kopratasa muncul dengan single atau album baru. Insya-ALLAH,” jelasnya.

Muzik video Alif sudah pun disiarkan di saluran YouTube Luncai Emas bermula 13 Ogos lalu, manakala lagu Alif boleh didengar di semua saluran digital bermula hari ini.

“Dalam video klip lagu Alif mempunyai banyak falsafah yang boleh dirungkaikan. Memaparkan seorang sang guru dan anak murid sedang mengaji al-Quran. Kitab al-Quran dijunjung tinggi dan panduan di dalam kehidupan seharian,” katanya.