BAGAI mengubati kerinduan, penyanyi Nine hadir dengan buah tangan terbaharu menerusi single Rindumu Memanggilku khas untuk peminat.

Pada dasarnya, Nine atau nama sebenarnya Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri yang sebelum ini mencipta nama bersama kumpulan Phyne Ballerz sudah agak sepi tanpa sebarang lagu baharu.

Namun, kerinduan untuk kembali aktif dalam industri muzik membuatkan dia tekad kembali ke studio rakaman dengan karya berkenaan.

“Memang agak lama sebenarnya saya tidak hadir dengan produk baharu dan apabila diberikan kesempatan untuk merakamkan Rindumu Memanggilku, ia merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

“Lagi satu ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai selaku komposer, pastinya saya berbesar hati dan gembira. Ini memang satu pengalaman menarik dan manis buat saya secara peribadi,” kata Nine.

Lagu Rindumu Memanggilku merupakan lagu solo pertama penyanyi ini sejak bergelar anak seni pada tahun 1999.
Mula mengukir nama bersama Phyne Ballerz sebelum ‘berhijrah’ seketika bersama Ruffedge pada 2008 hingga 2011 dan kemudian berkolaboratif sebagai duo Billy Zulkarnain pada 2018.

Pastinya pengalaman baharu dicipta oleh Nine tatkala merakamkan lagu secara solo kali ini. Perasaan bercampur baur untuk bergerak secara sendirian mula dirasai, sementelah selama ini dia tidak pernah berseorangan dalam melakukan aktiviti promosi dan sebagainya.

“Perjalanan yang akan ditempuhi kali ini memang berbeza jika mahu dibandingkan dengan dahulu. Ini merupakan pengalaman baharu dan saya gembira untuk memperkenalkan nama Nine kepada peminat generasi baharu dan dalam masa yang sama melepas rindu peminat yang lama,” ungkapnya lagi.

Iklan

Rindumu Memanggilku disifatkan mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri dan paling penting ia tidak lari jauh daripada muzik RNB yang menjadi ‘nadi’ Nine sejak dahulu lagi.

Lagu ini berkisahkan tentang seorang lelaki yang kehilangan orang tersayang dalam sebuah perhubungan. Saban hari rasa rindu mula menguasai diri sehinggakan segala kenangan bersama kembali dalam ingatan.

Iklan

“Saya berharap lagu ini akan diterima baik oleh pendengar. Setidaknya saya mahu lagu ini mengembalikan semula nama Nine untuk terus diingati,” ujarnya.

Rindumu Memanggilku merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music kini sudah berada di semua platform digital. Sementara muzik video (MV) pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.