SEMPENA menyambut ulang tahunnya yang keempat, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) menampilkan sebuah hasil karya istimewa yang dihasilkan seorang pengkarya dari Sabah, Red Hong Yi, berjudul Tanah.

Red Hong Yi yang dikenali dengan penghasilan karya seni yang menggunakan bahan-bahan alternatif itu mengambil masa 12 minggu untuk menyiapkan gabungan tiga karyanya itu.

Ia dihasilkan menggunakan tujuh kilogram pelbagai jenis dan warna pasir tanah dari Semenanjung dan Malaysia Timur, kulit kayu serta turut dilapisi dengan bahan resin.

Karya seni itu terhasil melalui penyelidikan selama 10 bulan dan temuramah para veteran perang termasuk Mejar Andrew Teoh Hoot Aun, Leftenan Kolonel Linus Lunsong Janti, Mejar Patrick Wong Sing Nang dan Kapten Panirchellvum Velaitham.

Menurut Red Hong Yi, karya tersebut begitu istimewa buatnya kerana menampilkan kisah perwira negara.

“Hasil karya yang dapat menceritakan kisah perwira yang berjuang untuk negara sungguh bermakna dan istimewa bagi saya.

“Salah seorang veteran perang itu memberitahu saya bahawa dia ingin menyampaikan mesej kepada generasi kita iaitu apa yang kada pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan perwira-perwira kita,” katanya.

Karya Tanah menggambarkan 12 orang perwira Angkatan Tentera Malaysia, sekitar tahun 1960an yang menceritakan kisah pengorbanan pahlawan-pahlawan yang tidak dikenali, berjuang demi kemerdekaan, kehormatan dan keselamatan Malaysia.

CENDANA turut menyampaikan penghargaan kepada para veteran perang yang telah berjuang demi kedaulatan negara.

Dalam masa sama bersempena ulang tahun keempat itu, CENDANA juga meraikan para seniman dan pekerja budaya yang menceritakan kisah pengorbanan tersebut kepada masyarakat.

Semenjak penubuhannya pada September 2017, CENDANA giat melaksanakan, menyampaikan dan menyokong melalui pelbagai program dan inisiatif yang dirancang khas untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan sektor seni budaya Malaysia.

Antara program dan inisiatif yang dimulakan dan diterajui termasuk Art in the City, Panggung Rakyat, Skema Pendidikan Seni, Akademi Ekonomi Seni Budaya, serta pelbagai bentuk program pembiayaan untuk para penggiat seni persembahan, muzik bebas, seni visual dan kraf.

Iklan
Antara persembahan sempena meraikan sambutan Retrospektif 4 Tahun yang dianjurkan secara atas talian melalui platform Facebook CENDANA 6 September lalu.

Perayaan ulang tahun keempat bertemakan Retrospektif 4 Tahun itu sejajar dengan peranan CENDANA memacu ekonomi seni budaya Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab yang dikenali dengan kehebatan seni dan senimannya.

Teras tema ini memberi penekanan kepada keterlihatan berterusan bagi seni budaya Malaysia termasuk memastikan masyarakat dapat terus menikmati dan menghayati keindahan seni budaya Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, kesenian dan budaya seumpama benang yang menghubungkan rakyat Malaysia daripada semua latar belakang.

Iklan

“Terima kasih diucapkan kepada setiap pahlawan negara dan mereka yang memperjuangkan seni demi kebanggaan negara.

“Menerusi sokongan yang diberikan, warga CENDANA dan saya berharap dapat terus berkhidmat untuk komuniti seni dan memperkukuhkan ekonomi seni budaya bagi setiap lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sambutan Retrospektif 4 Tahun dianjurkan secara atas talian melalui platform Facebook CENDANA pada 6 September lalu.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan hebat daripada alumni penerima manfaat CENDANA termasuk Hands Percussion, Syarikat Kwang Tung Dance Company, Myo, dan The Impatient Sisters.