'Tapau' pergi bazar Ramadan, buru kuih tepung pelita. Ini cerita heroin Mael Totey The Movie

A
A
A

BELIAU demam dan tidak sihat, namun tetap gigih memenuhi undangan saya untuk menjadi penghias wajah SinarPlus. Sudahlah pada petang itu, deruan hujan yang mencurah agak mendebarkan jiwa.

Aween Ismail yang merupakan finalis Dewi Remaja 2018/2019 dan dinobatkan sebagai Dewi Inspirasi pada program itu melayangkan sekuntum senyuman sebaik menapak ke Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor. Reaksi bersahajanya itu seolah-olah menggambarkan tiada apa-apa berlaku, namun raut wajahnya jelas lesu.

Dirinya dilihat semahu-mahunya 'menyimpan' kesakitan itu agar kesemua yang diatur untuknya berjalan lancar. Barangkali itulah yang bermain di benak gadis yang sopan tutur katanya itu.

Anggun mengenakan persalinan tajaan label bakal mencipta nama, Sri Candy dan Nadd Hassan, remaja berusia 23 tahun itu sudah tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Tidak perlu diberi arahan berlebihan, beliau sememangnya tidak canggung dengan 'panahan' lampu kamera bidikan Asril Aswandy Shukor. Gaya demi gaya dipersembahkan memenuhi kehendak konsep yang ingin diketengahkan. Pendek kata, memang mudah 'bekerja' dengan si gadis manis itu.

Pada akhir sesi fotografi, ketika beriringan jalan bersamanya, barulah pemilik nama penuh Nik Nor Farzuwin Nik Ismail kedengaran batuk-batuk.

"Ya, Aween tak sihat sikit kak, batuk-batuk. Jadual kerja agak padat, pagi tadi Aween baru sahaja penuhi satu sesi fotografi," kata Duta Demiaca dan Hyda Scarf itu memulakan bicara rasmi.

 

Rindu bazar

Saya terus mengajaknya bersembang mengenai Ramadan. Roman mukanya penuh ceria seakan-akan tahu apa persoalan yang ingin dilontarkan.

"Kali ini memang Aween akan 'tapau' habis. Kalau selalunya orang hanya akan pergi bazar Ramadan pada hari ketiga atau keempat, Aween pada tahun ini akan pergi pada hari pertama lagi.

"Bukan apa, itu semua disebabkan betapa rindunya Aween dengan momen di bazar, pengubat rindu katakan," katanya yang memecah keheningan bilik solekan dengan hilai tawa comelnya.

Ujar anak jati Kelantan itu, pastinya beliau akan memburu kuih tepung pelita yang bukan sahaja menjadi kegemarannya, malah ahli keluarga yang lain.

"Ya, tepung pelita memang nostalgia, satu juadah wajib setiap kali berbuka, tiada yang lain. Selain itu, saya dan ahli keluarga juga akan membeli pelbagai jenis minuman seperti air kelapa, soya, katira dan air bandung mengikut cita rasa masing-masing," ujarnya.

Pun demikian, di sebalik kerancakan bercerita, Aween sempat mengimbau kenangan berpuasa pada kala pandemik Covid-19 mula menyerang negara pada Mac tahun lalu.

"Ketika itu, semua orang tak boleh ke mana-mana, hanya duduk di rumah. Begitu juga Aween, namun Aween bernasib baik sebab dapat bersama famili di Rawang, Selangor ketika itu.

"Bagaimanapun, segala yang berlaku lazimnya disusuli rahmat daripada YANG MAHA ESA. Alhamdulillah, pada saat itu, Aween dapat belajar memasak kek, Aween pun tak sangka dapat masak dengan baik.

"Segala macam kek seperti kek chiffon, kek coklat dan kek cawan dipelajari dan sempat dikongsi (resipi) di laman Instagram untuk tatapan peminat," katanya yang semakin dikenali selepas lakonannya sebagai Yaya dalam filem Mael Totey The Movie yang mencatatkan kejayaan gemilang.

 

Kata Aween, seboleh-bolehnya beliau mengharapkan suasana Ramadan pada tahun ini lebih menyuntik simfoni bahagia bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Kemudian, saya bertanya kepadanya, bagaimana dengan aktiviti seninya sepanjang bulan yang mulia ini? Selebriti remaja itu berterus-terang.

"Aween memang sibuk, sebelum Ramadan lagi Aween sudah bersetuju untuk memenuhi kehendak klien di merata-rata tempat seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk sesi fotografi baju, koleksi tudung dan iklan televisyen.

Momentum itu akan berterusan hingga satu atau dua minggu terakhir puasa. Tak mengapa, memang penat, tetapi Aween tak kisah untuk bekerja kuat selagi tenaga masih menyala-nyala," katanya yang mengaku akan menunaikan ibadah tarawih sekiranya berkesempatan.

Pun begitu, katanya, waktu sahur sememangnya tidak akan diabaikan sama sekali.

"Memang Aween tak akan ponteng sahur. Biasanya Aween akan makan nasi atau mee goreng. Jika terlalu penat, Aween akan minum segelas susu dan makan kurma," kata model Muslimah itu.

Syahdu takbir raya

 

Pada tahun ini, pastinya pengumuman untuk merentas negeri sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Masakan tidak, sampai bila harus meraikan Aidilfitri bersendirian atau bersama keluarga kecil?

Namun, bagi Aween, beliau reda dengan segala kata putus daripada kerajaan.

"Syukur kalau dibenarkan. Insya-ALLAH, tiga atau lima hari sebelum raya, Aween dan famili akan balik ke Kelantan. Sebenarnya sudah tiga, empat tahun tak balik kampung disebabkan atuk sebelah ibu dan ayah meninggal dunia.

"Jadi, jika semuanya jadi kenyataan, sekali lagi Aween akan 'tapau' beraya dengan sanak-saudara yang ramai di sana," katanya sambil tergelak kecil.

Jika di sebelah negeri pantai Barat cenderung menikmati ketupat dan rendang, berbeza dengan keluarga gadis itu dan mungkin kebanyakan penduduk di Kelantan.

Kelazimannya, kata Aween, hidangan signatur mereka di negeri Cik Siti Wang Kembang itu adalah laksam, nasi kerabu, nasi dagang dan nasi hujan panas.

Sekiranya, kerajaan masih kekal dengan peraturan tidak membenarkan urusan merentas negeri, bagaimana sambutan raya gadis yang berkebolehan bermain gitar dan ukelele itu? Jawab Aween dengan penuh ketegasan:

"Tak mengapa, segala keputusan barangkali ada sebabnya, lagipun kes Covid-19 masih belum turun. Ya, raya Aween akan seperti biasa, tapi dengan mak ayah dan lima adik beradik lain.

 

"Kami semua sebenarnya sudah dapat membiasakan diri sambut raya di Rawang, tapi taklah terlalu meriah. Namun bagi Aween, apabila famili berada di sisi, ia sudah cukup dan rasa lega sangat.

"Kalau dengar takbir raya, Aween akan sebak teringatkan ahli keluarga, tetapi mak ayah akan teringat kampung halaman. Sedih bab itu saja."

Bagaimanapun, ujarnya, tradisi memberi duit raya kepada ahli keluarga, sanak-saudara termasuk satu-satunya anak buah berusia dua tahun tetap diteruskan. Itulah momen yang bakal menyemarakkan suasana raya, katanya.

 

Urus diri sendiri

 

Seusai bersembang soal Ramadan dan Aidilfitri, saya sengaja menebak dengan bertanya di manakah pengurusnya? Biasanya, mana-mana selebriti wajib ditemani pengurus atau setidak-tidaknya rakan baik sendiri. Namun, beliau nampaknya berbeza. Hadir ke studio pun berseorangan.

Begini reaksi spontan selebriti peminat warna pastel itu: "Aween tiada pengurus. Dulu ada, tetapi atas beberapa faktor, Aween ambil keputusan mengurus diri sendiri."

 

Adakah langkah dalam kerjaya seninya tidak merapu lantaran tiada individu yang menjaganya memandangkan potensi dirinya sebagai pelakon semakin terserlah dan diakui?

Insya-ALLAH, kita doa yang terbaik. Memang semua Aween urus sendiri dari segi jadual seni, penggambaran, harga, urusan dengan kru produksi, media dan semualah atas tanggungjawab sendiri. Tak mengapa, pada saat masih ada kudrat, insya-ALLAH, Aween cuba sebaik-baiknya," kata bekas pengacara H!Live dan CJ Wow Shop itu.

Kelihatan masih energetik walaupun sudah lebih setengah jam wawancara berlangsung, Aween berkata, selepas Mael Totey The Movie mencatat sejarah apabila menerima kutipan sebanyak RM6.4 juta dalam tempoh 23 hari sejak mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu menerusi Astro First, langkahnya semakin berani.

 

 

"Ini yang dikatakan rezeki, selepas filem ini, memang tak dinafikan Aween semakin dikenali. Jika tiada aral, Aween akan muncul dalam satu filem pada bulan Julai nanti," ujar pelakon drama Selepas Terlafaznya Akad dan filem Munafik itu.

Beritahu Aween, kecintaannya dalam bidang lakonan sudah terpateri sejak kecil. Justeru, azamnya mahu terus mengorak langkah lebih jauh selepas berjaya dengan filem Mael Totey.

"Jika dikatakan Aween sebagai pelapis kepada pelakon-pelakon senior lain, alhamdulillah sangat. Aween berharap keberadaan Aween dalam dunia hiburan dapat diterima dan teruslah menyokong, Aween akan lakukan yang terbaik," katanya memaku visinya.

Terima kasih

Jurumekap: Ayang Kamell (@ayangkamell)

Busana: Sri Candy (@sri.candy) &

Nadd Hassan (@naddhassankl)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca