TIGA sahabat, dua keluarga, berantakan kerana seorang perempuan penggoda.

Terbaru Astro First menampilkan sebuah filem suspens thriller penuh dengan plot dramatik dan konflik persahabatan, curang, skandal, tipu daya, dendam yang berakhir dengan satu tragedi, Tarantula X, bermula 16 Disember ini, di Astro First (saluran 480).

Menariknya, filem ini menghimpunkan barisan pelakon hebat seperti Vanida Imran, Adlin Aman Ramlie, Eman Manan, Namron, Mona Allen, Marissa Yasmin, Rashid Salleh, Jasper Supayah dan penampilan istimewa Datuk Yusof Haslam serta Adeline Tsen.

Eman Manan turut menjadi tunjang dalam Tarantula X.

Keserasian antara barisan pelakon memang tidak dapat dinafikan lagi, setiap emosi dan gerak geri yang ditonjolkan menerusi setiap watak bakal membuatkan penonton terus berteka-teki dengan mainan psikologi sehingga penghujung cerita.

Filem ini diterbitkan oleh Kuasatek Pictures, manakala idea asal, skrip dan lakon layar adalah hasil taruhan oleh penerbit yang cukup disegani dalam industri seni, Mohd Noor Kadir.

Tarantula X bukan sekadar filem dengan nilai hiburan semata-mata, tetapi turut diselitkan mesej positif seperti keharmonian, kesefahaman yang perlu ada dalam setiap hubungan dan persahabatan, serta kesan daripada perbuatan yang boleh menjerat diri sendiri.

Iklan

Filem itu mengisahkan tentang perempuan mata duitan, Shima (Mona Allen) yang suka menjalin hubungan sulit dengan lelaki kaya termasuk suami rakan-rakannya, Ayu (Vanida Imran) dan Liza (Marissa Yasmin).

Iklan

Apabila Adam (Namron) iaitu suami Ayu menjadi lumpuh dan berkerusi roda akibat serangan jantung, Shima beralih arah kepada suami Liza, Anas (Adlin Aman Ramlie).

Sebagai sahabat baik kepada Adam dan Anas, Amir yang masih bujang (Rashid Salleh) cuba mendamaikan mereka tetapi gagal. Tanpa pengetahuan Anas, isterinya cuba menjodohkan Amir dengan Shima. Namun Shima menolak dan menghina Amir.