Tawa, tangis bersatu dalam A Man Called Otto

A
A
A

LARI seketika daripada genre aksi mahupun seram yang kini sedang rancak mengisi pawagam, Sony Pictures Entertainment memberi pilihan berbeza menerusi filem A Man Called Otto.

Karya adaptasi daripada novel tulisan Fredrik Backman berjudul A Man Called Ove pada 2013 itu digarap dengan begitu istimewa oleh pengarahnya, Marc Forster sehingga meninggalkan impak besar kepada tontonan di layar lebar.

Menampilkan aktor hebat, Tom Hank selaku teraju utama, filem ini mengisahkan tentang Otto yang menjalani kehidupannya seorang diri selepas kematian isterinya.

Otto dilihat oleh jiran tetangganya sebagai seorang yang dingin, pemarah, mudah tersinggung dan cukup mementingkan kesempurnaan. Malah sesiapa sahaja yang tidak mengikuti atau bertentang prinsip dengannya, dianggap bodoh.

Dalam masa sama, Otto juga dalam diam sebenarnya berdepan masalah kesihatan mental sehingga beberapa kali cuba membunuh diri dengan pelbagai cara.

Namun semuanya gagal disebabkan gangguan daripada jirannya, wanita Mexico bernama Marisol yang baru berpindah bersama suami, Tommy dan dua anaknya.

Antara babak menarik dalam A Man Called Otto.

Pada awalnya filem ini bergerak agak perlahan apabila penonton diperkenalkan dengan watak-watak yang bakal membawa tontonan kepada cerita kehidupan mereka. Namun kemudiannya secara perlahan-lahan penonton dibawa masuk ke dunia Otto.

Selepas kehadiran watak Marisol, perasaan jengkel penonton terhadap Otto mula berubah dan akhirnya faham, malah menerima karakter dingin lelaki itu yang berpunca daripada trauma dilalui dalam hidupnya.

Impak

Pengarah bijak mewujudkan babak-babak yang dilihat ringkas dan bersahaja, tetapi memberi impak besar pada penonton sehingga larut dalam penceritaannya.

A Man Called Otto digarap dengan penuh warna. Sebuah cerita kehidupan yang penuh emosi, tetapi dalam masa sama bersulam gelak tawa yang mampu mereda ketegangan hati.

Banyak sekali mesej penting dan nilai moral dibawa menerusi naskhah ini, malah penyampaiannya secara halus menyerap masuk ke hati penonton tanpa paksaan.

Otto dan Marisol saling berkongsi kebaikan tanpa disedari, malah menunjukkan bahawa dalam kehidupan ini masalah yang hadir itu kadang-kala boleh menjadi hikmah yang jauh daripada jangkauan kita.

Tom Hank teryata berjaya menyelami watak Otto dengan begitu cemerlang sehingga mampu mewujudkan rasa percaya penonton kepada karakter itu. Lakonan Hanks mengundang air mata meski tanpa dialog atau aksi berlebihan untuk memaksa penonton beremosi.

Namun Mariana Treviño yang membawakan watak Marisol juga tidak kalah kerana sangat menyerlah dan benar-benar memikat dalam setiap babak melibatkan dirinya. Lakonan hebatnya meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

A Man Called Otto adalah sebuah naskhah yang cukup sederhana, tetapi mempunyai sentuhan luar biasa. Filem wajib tonton!

A Man Called Otto

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Drama

Durasi: 2 jam 6 minit

Pengarah: Marc Forster

Pelakon: Tom Hanks, Mariana Treviño, Rachel Keller, Manuel Garcia-Rulfo

Edaran: Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan: 23 Mac 2023

(FOTO: SONY PICTURES ENTERTAINMENT)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca