FILEM Mencari Rahmat yang sepatutnya ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 31 Disember ini terpaksa ditunda ke satu tarikh yang lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Penerbitnya, Zuli Ismail berkata, penundaan tarikh tayangan filem berkenaan dilakukan berikutan pihak pawagam membuat keputusan untuk menutup sementara panggung wayang bermula 2 November lalu sehingga satu tarikh yang akan diberitahu.

“Saya inginkan maklumkan bahawa tarikh tayangan filem Mencari Rahmat yang dijadualkan pada 31 Disember ini terpaksa ditunda berikutan penutupan sementara operasi pawagam.

“Kami juga telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memaklumkan tarikh tayangan filem ini akan dijadualkan semula,” jelasnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Zuli berkata, setakat ini tarikh baharu tayangan masih belum diperoleh dan pihaknya akan berbincang mengenainya dengan lebih lanjut agar satu tarikh baharu dapat ditetapkan.

“Saya percaya ramai yang menantikan tayangan filem ini, namun ia adalah satu perkara yang tidak dapat kami elakkan sama sekali berdasarkan situasi yang berlaku sekarang ini.

“Sudah tentu kami berharap agar penonton dapat bersabar sehingga filem ini akan ditayangkan di pawagam,” jelasnya.

Ini merupakan penundaan kali kedua tarikh tayangan setelah ia sepatutnya ditayangkan pada 18 Jun lalu berikutan pandemik Covid-19 yang sedang merebak ketika itu.

Mencari Rahmat diinspirasikan daripada karya Oscar Wilde, seorang pengarang kelahiran Ireland yang cukup terkenal dan salah satu naskhahnya yang popular ialah The Importance of Being Earnest yang pernah dipentaskan di St. James’s Theatre, London pada tahun 1895.

Filem ini menampilkan dua  pelakon handalan tanah air selaku tunjang utama iaitu Nam Ron dan Amerul Affendi serta turut dibantu Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.

Iklan

Ia mengisahkan Razak, seorang ahli perniagaan yang mewarisi kekayaan keluarga angkatnya.

Apabila Tan Sri Omar dan isterinya meninggal dunia dalam satu kemalangan, Razak telah diwasiatkan menjaga cucu perempuannya Ratna, 19, yang turut kehilangan ibu dan bapanya.

Razak seorang yang suka berfoya-foya, berparti liar tapi pada masa yang sama dia juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada Ratna.

Iklan

Oleh itu dia ‘mencipta’ seorang adik bernama Rahmat yang kononnya banyak masalah dan tinggal di Kuala Lumpur.

Dia kononnya terpaksa ke KL untuk menyelamatkan adiknya, Rahmat. Itulah alasan Razak supaya dia dapat berfoya-foya di ibu kota.