BERSAMA wawasan untuk mendidik dan menerapkan elemen patriotism dan sejarah dalam bangsa Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia secara amnya, Kelab Teater ASAR, Negeri Sembilan bakal tampil mementaskan teater Tanjong di Istana Budaya pada 9-11 September depan.

Pementasan teater Tanjong ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Geran Padanan Seni Dan Budaya bagi menjayakan persembahan ini.

Tanjong merupakan naskhah arahan Prof. Dr. Ahmad Rashidi Hasan mengenai budaya Adat Pepatih dalam aspek kepimpinan yang bakal memberi pendedahan kepada keunikan budaya masyakat Negeri Sembilan yang semakin lama semakin dilupakan.

“Pemilihan naskhah berkaitan Adat Perpatih ini adalah satu usaha untuk memberi pendedahan dan mendidik generasi muda tentang budaya dan adat yang masyarakat kita warisi.

“Ini adalah siri pertama dan selepas ini Kelab Teater ASAR akan meneruskan naskhah-naskhah berkaitan Adat Perpatih dalam dalam konteks lain pula.

“Naskhah Tanjong adalah diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku dalam kalangan pemimpin terdahulu dan turut relevan untuk situasi semasa hari ini,” katanya kepada SinarPlus ketika kunjungan ke pejabat Sinar Harian baru-baru ini.

Karya menceritakan mengenai krisis yang dilalui Luak Tanjong apabila Bugis dan Belanda menyerang Johor sehingga mengakibatkan Datok Penghulu Luak Tanjong, Tok Nagho, terpaksa berlayar ke Tanah Minangkabau untuk memohon perlindungan daripada Pagar Ruyung.

Teater Tanjong yang menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan itu dibintangi pelakon handalan Datuk Jalaluddin Hassan, kartunis Ujang serta penyanyi rakyat dan legenda Negeri Sembilan iaitu Ulong Bakar.

Pementasan ini juga melibatkan pelakon muda yang terdiri daripada 12 siswa dan 28 orang murid sekolah rendah dan menengah.

Prof. Rasyidi mahu teater Tanjong dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang. FOTO- RAFIQ

Menurut Prof. Rasyidi, penglibatan daripada pelakon generasi muda amat penting dalam usaha untuk memberi peluang kepada mereka turut sama menyertai kegiatan seni budaya terutama dunia pementasan teater.

“Saya seorang pendidik, jadi apabila saya bersara dan balik kampung, saya lihat anak-anak remaja di kampung tiada aktiviti. Jadi saya anjurkan kursus teater dan alhamdulillah ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Dari situlah tercetusnya idea pementasan teater Tanjong ini yang pada awalnya hanya dipentaskan dalam pementasan berskala kecil di Negeri Sembilan dan diikuti di Melaka.

Iklan

“Kesungguhan pelakon-pelakon generasi muda dalam pementasan ini amat saya kagumi dan percaya mereka mampu meneruskan perjuangan penggiat seni teater sedia ada untuk terus menjayakan pementasan berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Bakal dibukukan

Tidak hanya itu, Prof Rasyidi juga mahu menjadikan karya Tanjong ini sebagai satu rujukan kepada penggiat teater akan datang dengan mendokumentasikan proses pembikinannya dalam bentuk buku.

“Ini merupakan pementasan Tanjong kali ketiga dan pertama kali dalam pementasan berskala besar dan dipentaskan di Istana Budaya.

Iklan

“Jadi saya menjalinkan kerjasama dengan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya akan menjemput 12 orang pensyarah yang akan menilai karya ini daripada pelbagai aspek mengikut pengkhususan mereka seperti bahasa, busana, adat, lakonan dan sebagainya.

“Hasil penilaian itu nanti akan disampaikan kembali dalam bentuk akademik dan dibukukan untuk rujukan akan datang,” jelasnya.

Harga tiket pementasan teater Tanjong ini adalah antara RM50 hingga RM100. Pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang https://ilassotickets.com/event/tanjong atau https://www.kelabteaterasar.com.my/teater-tanjong

(FOTO: RAFIQ)