BIARPUN bahasa Inggeris bukan bahasa utama di Malaysia, namun kita digalakkan untuk menguasai bahasa dunia itu bukan hanya ketika belajar, bahkan apabila sudah bekerja.

Bagaimanapun bukan semua orang fasih berbahasa Inggeris sehinggakan ada yang tergamak mentertawakan individu yang membuat kesilapan.

Tidak bersetuju dengan cara itu, penyanyi rap terkenal negara, Joe Flizzow berkata, menjadi satu kesalahan sekiranya ‘Grammar Nazi’ (individu yang gemar mengkritik tatabahasa orang lain) sengaja mentertawakan seseorang kerana penggunaan bahasa Inggeris yang tidak sempurna.

Ujarnya, tidak salah untuk memberi teguran atau memperbetulkan kesilapan, namun perlu dengan cara yang betul.

“Saya rasa salah untuk mentertawakan atau memperlekehkan seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Kenapa kalau kita ke Itali dan lihat pemandu pelancong di sana tidak boleh berbahasa Inggeris dengan betul serta ada ketikanya sebutan agak pelat, kita boleh terima sebagai stail? Tetapi apabila orang kita sebut salah, kita tertawakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Start Your English Journey With Joe Flizzow yang berlangsung secara maya baru-baru ini.

Akui pemilik nama sebenar Johan Ishak itu, dia sendiri masih membuat kesilapan tatabahasa ketika menulis lagu biarpun menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan sehariannya.

“Saya dibesarkan oleh ibu bapa yang pernah bekerja sebagai penulis. Bagaimanapun mungkin disebabkan saya selalu dengar lagu hip hop, jadi ada tatabahasa saya yang kurang tepat.

“Ibu yang selalu memperbetulkan kesalahan bahasa dan saya tak pernah rasa tersinggung,” jelasnya.

Tambah penyanyi lagu CIAO itu, dia juga pernah menegur rakan yang membuat kesilapan, namun bukan ketika berada di khalayak ramai.

“Kadang-kadang ada pekerja saya buat kesilapan bahasa Inggeris, saya tarik dia ke tepi dan betulkan. Tujuan saya supaya dia tak ulang kesilapan sama.

Iklan

“Ada ketikanya kalau ada kawan-kawan yang buat hantaran di media sosial dan ada perkataan yang tidak tepat, saya akan hantar mesej untuk menegur mereka,” ujarnya.

Jadi Cikgu Joe

Sementara itu, mengulas peranannya dalam aplikasi pembelajaran SOLS Edu, figura berusia 42 tahun itu tertarik menjalinkan kerjasama bagi membantu mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris untuk belajar secara percuma.

Joe bersama Pengasas SOLS 24/7, Raj Ridvan Singh atau Teacher Raj.

Kata anak kepada bekas penyampai berita TV3, Ishak Nengah itu, proses pembelajaran dalam bentuk aplikasi tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai belajar tanpa rasa malu.

Iklan

“Selepas mengeluarkan album pertama Too Phat yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, saya menerima surat daripada seorang cikgu di Kelantan, dia berterima kasih kerana berjaya meraih perhatian anak muridnya untuk belajar Bahasa Inggeris selepas mendengar lagu kami.

“Begitu juga dengan seorang pengawal keselamatan yang memberitahu belajar bahasa Inggeris selepas mendengar lagu saya dan akhirnya mendapat kerja.

“Kisah-kisah sebegitu memberi inspirasi kepada saya untuk membantu lebih ramai lagi.  Saya anggap ia adalah cara terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.