SEMPENA sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban esok, TV1 membawakan sebuah telefilem yang mengangkat tema kekeluargaan dan pengorbanan.

Telefilem Ku Genggam Kunci Syurga merupakan hasil nukilan skrip penulis otai, Zarihah Hassan dan diarahkan oleh pengarah, Ejump Zahir.

Bakal menemui penonton pada jam 10 pagi esok (Selasa, 20 Julai) telefilem ini menampilkan gandingan pelakon seperti Amar Asyraf, Eyfa, Jalil Hamid, Ungku Hariz, Z. Zamri, dan Nazia Mustafar.

Berkongsi mengenai pembikinan telefilem ini, Ejump berkata, Ku Genggam Kunci Syurga telah menjalani penggambaran pada tahun 2019 lagi di sekitar Tok Bali, Kelantan selama lapan hari.

Katanya, telefilem yang mengetengahkan isu kekeluargaan ini turut menyelitkan kisah anak autisme.

“Telefilem ini secara ringkasnya mengangkat kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang anak dalam menjaga bapa selepas kematian ibunya.

“Ia turut diselitkan dengan konflik ketamakan dalam merebut harta peninggalan.

Iklan

“Pada saya telefilem ini sangat menarik sebab ia bersesuaian dengan sambutan Aidiladha di mana kita mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

“Saya kupas erti pengorbanan itu dalam konteks kekeluargaan,” katanya kepada SinarPlus.

Iklan
Ejump memberi penerangan kepada kru sebelum penggambaran bermula.

Tambah Ejump, dia berterima kasih kepada penduduk di sekitar Tok Bali dan berharap drama ini dapat diterima dengan baik oleh penonton.

Ku Genggam Kunci Syurga mengisahkan Rizal yang nekad untuk berhenti kerja bagi menjaga bapa dan adiknya selepas abang dan kakak iparnya tidak berminat untuk berbuat demikian.