DRAMA bersiri I-Tanggang bakal mengisi slot Astro Originals diinspirasikan daripada konflik kekeluargaan yang sememangnya berlaku di Malaysia dan tidak pernah didedahkan.

Tambah unik, ia adalah drama pertama mengetengahkan isu penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy.

I-Tanggang bukan sekadar meneroka subjek berbeza daripada kebiasaan tetapi turut mempertaruhkan naratif baharu kepada penonton yang memaparkan kisah seorang ibu  mempergunakan anaknya yang dikatakan sakit demi meraih simpati, sumber pendapatan dan dendam.

Drama premium 12 episod itu menemui penonton bermula hari ini, 13 September setiap hari Isnin, jam 9 malam di Astro Citra, saluran 108.

I-Tanggang merupakan idea asal oleh bakat kreatif cukup berkaliber, Wan Hasliza Wan Zainuddin. Beliau juga bertanggungjawab sebagai pe-ngarah bersama Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak.

Secara keseluruhan, kisah kekeluargaan yang diketengahkan amat dekat dengan masyarakat dan bakal menyuntik pelbagai emosi melalui karakter yang dipersembahkan.

I-Tanggang dibintangi barisan pelakon hebat.

Lakonan mantap yang meninggalkan kesan itu telah digerakkan oleh barisan pelakon hebat seperti pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2012, Sherie Merlis; Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25, Faizal Hussein, Danish Hazriq (Pelakon Pembantu Lelaki Anugerah Skrin 2018), Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh, Rashidi Ishak, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu Khay merupakan seorang influencer  media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Iklan

Pada majlis pelancaran bukunya, Erma membuat pengumuman bahawa Khay hanya ada masa enam bulan untuk hidup. Berita itu sangat mengejutkan Khay. Adakah dia betul-betul akan mati dalam masa enam bulan?  Rahmat, ayah Khay dan Doktor Nini, salah seorang bekas doktor Khay juga meragui berita tersebut.

Setelah sekian lama tidak berjumpa, Rahmat menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepada Khay tanpa pengetahuan Erma. Dengan menggunakan telefon tersebut, Khay berjumpa dua rakan dalam talian, Royal E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq). Mereka menubuhkan kumpulan group chat bernama I-Tanggang.

Khay mula memberontak dengan layanan ibunya selepas dia dikatakan hanya mempunyai masa enam bulan untuk hidup.

Sementara itu, kehidupan Syafiq juga dilanda konflik apabila terpaksa mengambil alih tugas ibu bapanya untuk menjadi ketua keluarga dengan bekerja sebagai rider  bagi menyara hidup mereka terutama lima orang adiknya yang masih kecil.

Iklan

Ia menyebabkan Syafiq mula membenci ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab. Sementara, Esra pula terlalu dimanjakan sehingga dia tidak mempunyai sifat kemanusiaan.

Apabila Esra dan Syafiq mendapat tahu yang Erma memalsukan penyakit Khay dan cuba membunuhnya, Esra bersama Syafiq membuat rancangan untuk menyelamatkan Khay.