LAGU Pelukan Angkasa nyanyian SOG dan Shila Amzah menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada malam Ahad.

Kemenangan lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamudin itu sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000 dan trofi.

Naib juara dimenangi lagu Cinta nyanyian Marsha Milan, ciptaan oleh Bunga Cantik dan Hang Nadim membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Manakala lagu Mimpi nyanyian Haqiem Rusli, hasil ciptaan Haqiem Rusli dan Datuk A. Aida pula menduduki tempat ketiga. Mereka memenangi wang tunai RM30,000 dan trofi.

Vokal Terbaik pula menjadi milik Aina Abdul menerusi lagu Sepi yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 dan trofi.

Sementara Marsha menggunguli Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM18,000 beserta trofi.

Bagi Anugerah Penyanyi Pilihan Popular, kemenangan berpihak kepada Aina Abdul dan Khai Bahar yang menyampaikan lagu Nafas Cinta.

Lagu lain yang turut memberikan saingan ialah Boneka nyanyian Ernie Zakri (digantikan oleh Syamel), Purnama (Naim Daniel), Intan Payung (Bunga dan Noraniza Idris), Salahku (Yonnyboii), AEWO (Shiha Zikir dan Noki), Angkara (Siti Nordiana) serta Lara (Haqiem, Naim Daniel dan Hael Husaini).

Iklan

Kesemua finalis diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada LY, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir, Datuk Habsah Hassan dan Datuk Mozhani Ismail selaku ketua juri.

AJL36 yang berlangsung dalam norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat itu dihoskan oleh Alif Satar dan Nabila Huda. Manakala Sean Lee dan Sissy Imann pula mengendalikan acara karpet merah yang bersiaran di TV9 dan YouTube TV3.

Malam kemuncak anugerah muzik berprestij yang mengangkat tema Ini Rentak Kita itu turut diserikan dengan persembahan Mas Idayu, Datuk Jamal Abdillah, Cassia dan Ayda Jebat, Dayang Nurfaizah dan Wings.

Iklan
Marsha dinobatkan sebagai Naib Juara, manakala Haqiem Rusli di tempat ketiga bersama komposer lagu masing-masing.
Vokal Terbaik menjadi milik Aina Abdul menerusi lagu Sepi.

 

(FOTO: INSTAGRAM @anbstudio_bobong)