KUMPULAN Ubi menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara program Muzikal Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) yang berlangsung di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, pada Jumaat.

Ubi tampil menerusi persembahan yang cukup kreatif dan menghiburkan menerusi dua tugasan bertemakan Benua Di Dalam Dunia dan Bebas, sekali gus mendapat pujian daripada barisan juri.

Mereka juga menjadi satu-satunya kumpulan yang berjaya mendapat lima bintang daripada juri untuk setiap persembahan dengan markah keseluruhan sebanyak 79.93 peratus (%).

“Alhamdulillah! Terima kasih kepada juri-juri kerana memberikan input setiap minggu supaya kami mampu memberi yang terbaik. Bukan untuk kami tetapi untuk semua orang agar terhibur,” ujar Ubi selepas diumumkan sebagai juara.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan kumpulan yang dianggotai oleh Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Naib juara dimenangi oleh kumpulan Cili yang membawa pulang hadiah wang tunai RM75,000 berserta trofi, manakala tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan Bahroy dengan hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Kumpulan OOD hanya berpuas hati di tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Sementara itu Shiha Zikir daripada kumpulan Cili dinobatkan sebagai Superstar Paling Gempak setelah tampil dengan persembahan paling konsisten selama 10 minggu MLS3 berlangsung.

Masing-masing menampilkan persembahan yang kreatif dan menghiburkan.

Persembahan kesemua peserta pada pentas akhir itu diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada Datuk Awie, Siti Saleha dan Najib Ali yang mewakili 75 (%) pemarkahan, manakala 25% lagi merupakan markah daripada undian atas talian.

Selain empat finalis pada malam kemuncak, MLS3 yang menyatukan penyanyi, pelawak, pelakon serta personaliti media sosial itu turut menyaksikan persaingan daripada kumpulan Arteh, Benjo, Sobat, Wisel, Abioso, Ngam, Joki dan Selit.

Program yang dihoskan oleh Sharnaaz Ahmad dan Elly Mazlein itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (107) pada setiap Jumaat, jam 9‬ malam bermula 22 Julai lalu.

Iklan

Ubi mendapat Persaingan sengit daripada kumpulan Cili, Bahroy dan OOD.

Kedudukan dan markah penuh peserta 

1. Kumpulan Ubi – 79.93%
(Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie)

2. Kumpulan Cili – 70.54%
(Achey, Shiha Zikir dan Ali Puteh)

Iklan

3. Kumpulan Bahroy – 55.55%
(Nizam Jentik Jentik, Roy Azman dan Shashic Iewan)

4. Kumpulan OOD – 48.98%
(Man Raja Lawak, Chiwan dan Zahid)

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)