SELEPAS sambutan luar jangkaan diterima menerusi filem seram komedi Khaenak 1 & 2 yang ditayangkan di saluran YouTube tahun lalu, KCTV Network & Broadcasting Sdn Bhd terpanggil untuk tampil dengan siri ketiga filem itu, Khaenak: Serangan Pocong.

Pengarahnya, Emma Kasmuri berkata, filem ketiga ini berbeza dengan dua buah filem sebelumnya dan bakal menemui penonton di Astro First.

“Kalau diikutkan judul filem ini adalah Khaenak 3, tetapi bila kami kemukakan kepada Astro First, saya tak sangka mereka berminat.

“Kemudian kami gantikan angka ‘3’ itu dan menggunakan judul Khaenak: Serangan Pocong,” ujarnya.

Filem kali ini mengetengahkan kisah hantu pocong.

Sebelum ini, Khaenak dikenali menerusi watak utamanya iaitu hantu pontianak yang terkenal dengan panggilan Meknak tetapi kali ini, Khaenak membawa kelainan dengan menampilkan watak hantu pocong bagi menggantikan hantu golek yang sinonim dengan emas, perhiasan yang digilai wanita Kelantan.

Ketika ditanya tentang kejadian seram atau aneh yang berlaku ketika penggambaran, Emma berkata, mereka berdepan dengan beberapa perkara mengejutkan di lokasi penggambaran.

“Ketika hari kedua penggambaran, sewaktu babak buka ikatan tali pocong dilakukan ketika pukul 12.00 tengah malam, pelakon yang membawakan watak pocong itu tiba-tiba pengsan.

“Saya ada di lokasi kejadian ketika itu, dan melihat sendiri apa yang berlaku. Pelakon terlibat pengsan sehingga muka dia tersembam ke tanah.

“Kemudian, pelakon utama iaitu Apak juga turut mengalami kejadian aneh ketika babak menunggu pocong atas motor, Apak terasa seolah ada yang menarik kakinya.

Apak (depan) turut berdepan peristiwa mistik semasa penggambaran.

“Apabila penggambaran selesai, barulah dia menceritakan tentang apa yang telah berlaku,” ujarnya yang tidak pernah melalui pengalaman sedemikian ketika pembikinan dua filem sebelumnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kos penerbitan pula, Emma berkata, pada mulanya ia menelan belanja sebanyak RM50,000 sahaja.

Iklan

Bagaimanapun, apabila filem lulus untuk disiarkan di Astro First, kos penerbitannya semakin meningkat.

“Kami perlu shoot beberapa scene tambahan dan terpaksa mengubah dari sudut editing serta colour yang bersesuaian mengikut quality control (QC) bagi memenuhi standard filem.

“Akhirnya kos keseluruhan mencecah RM150,000 termasuk kos promosi dan iklan menjadikan Khaenak dikategorikan sebagai Indie Film dengan bajet rendah,” jelasnya.

Kamarool Yusoff antara pelakon utama filem ini.

Khaenak: Serangan Pocong kisah berlatarbelakangkan sebuah kampung di pinggir bandar, di mana pelbagai kejadian mistik telah berlaku di kampung berkenaan, tetapi berjaya diselesaikan dengan kesepakatan penduduk kampung dipimpin oleh Tok Penghulu.

Iklan

Seorang komposer terkenal dari Kuala Lumpur, Apak datang bercuti di kampung bersama isterinya, Yana untuk mencari ilham bagi menghasilkan lagu terbaru.

Yana mula memujuk Apak untuk membeli barang kemas selepas diperli oleh Mek Som dan Cik Ani.

Kemudian beberapa perkara aneh mula berlaku di kampung tersebut apabila penduduk kampung mula diganggu dengan kehadiran pocong.