Terima Kad OKU, Zaiton Sameon harap dapat ringankan beban

zaiton sameon
zaiton sameon
A
A
A

PENYANYI veteran, Zaiton Sameon kini berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori fizikal apabila menerima kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, pada Isnin.

Zaiton yang pernah popular dengan lagu Menaruh Harapan itu layak menerima status berkenaan selepas disahkan mengalami trauma kecederaan otak oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri pada 1990 yang turut meragut nyawa anak lelakinya, Azirwan Abu Bakar.

Meluahkan rasa syukur dengan kepihatinan pihak terlibat, penyanyi yang kini berusia 66 tahun itu berharap agar pemilikan kad tersebut dapat memudahkan permohonannya untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

Zaiton berkata, buat masa ini dia tinggal menyewa dan terikat dengan bayaran bulanan yang agak membebankan lantaran tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya kini menyewa di Ampang dan terikat dengan bayaran bulanan sebanyak RM800. Bagaimanapun, saya sering lewat melunaskan bayaran kerana masalah kewangan.

“Saya tidak mempunyai pendapatan tetap, selain tawaran menyanyi yang semakin berkurangan.

”Sebelum ini, saya pernah memohon bantuan perumahan PPR, tetapi ditolak atas alasan tiada pendapatan tetap. Alhamdulillah, status OKU ini melayakkan saya untuk mendapat bantuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi tersebut mendedahkan hidupanya kini hanya bergantung harap kepada anak angkat, Che Sikah Ismail yang menjaganya.

“Syukur kerana masalah saya mendapat perhatian. Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa serta tiada semuanya.

"Memang saya ada adik-beradik tapi saya tidak mahu ganggu mereka. Saya sekarang tinggal dengan anak angkat, Ikah. Sejak 11 tahun lalu, dia yang menjaga saya.

“Lega dengan pemberian status ini kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang saya tanggung selama ini,” katanya.

Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh, berkata, Zaiton menerima status tersebut bagi kategori OKU fizikal selepas disahkan doktor mengalami trauma kecederaan otak.

"Status OKU bukan hanya diberikan kepada individu yang mempunyai kecacatan fizikal malah sesiapa yang mempunyai masalah ingatan juga boleh memohon.

"Seperti kes Zaiton, dia masuk dalam kategori OKU fizikal yang telah disahkan oleh doktor sebagai trauma kecederaan otak," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca