Terima kasih kerana masih mengingati saya - Hasnol

HASNOL LAGUKU UNTUKMU
HASNOL LAGUKU UNTUKMU
A
A
A

HAMPIR tiga dekad bergelar anak seni dan melalui jatuh bangun dalam industri, penyanyi popular era 1990an, Hasnol teruja apabila kembali berpeluang menghasilkan album baharu, sekali gus mengubat rindu para peminatnya.

Album berjudul Nadi Cinta Kita yang memuatkan tujuh buah lagu itu begitu istimewa buat Hasnol apabila ia membabitkan karya-karya dihasilkan dua sahabat yang telah pergi selama-lamanya.

Menurut Hasnol, buah tangan terbaharu itu didedikasi khas buat Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, komposer Laguku Untukmu yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu dan Allahyaram Tony Spider menerusi pembikinan Nadi Cinta Kita.

“Album ini didedikasikan kepada guru dalam industri muzik saya iaitu Adnan Abu Hassan dan sahabat yang sangat saya hormati dan sayangi, Tony Spider.

“Pemergian sahabat karib yang bagaikan ahli keluarga saya ini sangat memberikan kesan dan saya memutuskan untuk menjadikan album ini sebagai tribute buat mereka.

“Selain rakaman semula Laguku Untukmu, album ini turut memuatkan single Hilang, ciptaan Tony yang pernah rilis pada Oktober 2019,” ujarnya.

Album terbitan Luncai Emas itu turut memuatkan Nadi Cinta Kita, The Ryhtm Of Love dan tiga lagu lagi dalam versi instrumental.

Tidak hanya itu, Hasnol berkata, sepanjang bergelar penyanyi rakaman, ini merupakan kali pertama dia menampilkan lagu berbahasa Inggeris dalam album.

The Rhythm of Love merupakan versi bahasa Inggeris lagu Nadi Cinta Kita. Ia merupakan lagu Inggeris pertama dalam sejarah saya sebagai artis rakaman.

“Jadi saya mengharapkan penerimaan baik daripada peminat kerana ini percubaan julung,” katanya.

Berkongsi proses pembikinan album, bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama itu berkata, album tersebut bermula dengan rakaman lagu Hilang oleh Tony pada tahun 2018, sebelum mereka kemudiannya tampil dengan idea untuk turut memuatkan Laguku Untukmu dalam sebuah album edisi terhad.

“Biarpun album ini siap pada 2019, namun aktiviti promosi tidak dapat dijalankan dan tergendala disebabkan pandemik Covid-19.

“Apabila Covid-19 melanda, saya dan ramai lagi rakan dalam industri hiburan terjejas kerana tiada ruang untuk membuat persembahan pentas atau aktiviti seni.

“Keadaan menjadi sukar buat kami dan untuk mendapatkan bantuan atau geran daripada kerajaan, bukanlah semudah disangka,” katanya.

Dalam pada itu, Hasnol yang pernah menghasilkan dua buah album studio sebelum ini iaitu Sudi Katakan Sudi pada tahun 1992 dan Caraku (1994), mengharapkan album terbaharunya dapat mengubati rindu peminat.

“Buat peminat-peminat, terima kasih kerana masih mengingati saya dan lagu nyanyian saya sebelum ini. Terima kasih juga kerana masih meletakkan nama saya sebagai penyanyi asal Laguku UntukMu walaupun sudah dipopularkan oleh penyanyi baharu,” katanya.

Lagu Hilang dan Nadi Cinta Kita kini boleh didapati di semua platform digital muzik, manakala lirik video pula menerusi saluran YouTube Luncai Emas.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca